
KOTA BHARU: Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) mengadakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran 10 juta pelancong bertandang ke negeri itu tahun ini.
Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan & Kebudayaan) Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Kelantan, Mohd Zaki Ismail berkata, Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 tidak hanya tertumpu promosi makanan dan tempat-tempat menarik semata-mata.
Sebaliknya kata beliau turut dihiasi dengan persembahan kebudayaan Kelantan.
“Dua lokasi dipilih untuk diadakan program berkenaan iaitu Laman Warisan Kampung Laut dan Gelanggang Seni untuk menjayakan program kebudayaan sepanjang TMK 2024,” ujarnya ketika ditemui pada sembang santai bersama Exco Kerajaan Negeri Dato’ Kamarudin Md Nor malam tadi.
Menurutnya, antara persembahan kebudayaan terbabit iaitu dikir barat, permainan rebana ubi, kertok kelapa dan pertunjukan seni silat tari.
Katanya program berkenaan akan diadakan setiap hari Jumaat selepas Asar, kecuali sepanjang bulan Ramadan akan dihentikan sementara.
Beliau juga berkata, Laman Warisan Kampung Laut dipilih memandangkan lokasi baharu berkenaan menjadi tarikan pelancong.
“Laman Warisan juga dilengkapi tempat menjual serunding yang tentunya menarik perhatian ramai pengunjung.
“Mungkin selepas ini akan lebih menarik kerana di situ juga ada jeti untuk ke Pulau Suri dan Pulau Sri Tanjong,” ujarnya.
Mohd Zaki juga berkata, program pertama yang dianjurkan Jumaat lepas di Laman Warisan mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri 200 pengunjung menyaksikan persembahan kebudayaan.
Tambahnya, selain penduduk tempatan ada pelancong dari Johor dan Singapura menyaksikan persembahan tersebut. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











