
KANGAR: Perlis berupaya memperluaskan produk halal ke Selatan Thailand bagi meningkatkan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, peluang itu wajar diambil kerana lokasi startegik negeri ini yang berada di sempadan Thailand.
“Salah satu fokus yang ditekankan ialah peluang untuk memperluaskan produk halal di kawasan sempadan, terutama ke penduduk di selatan Thailand.
“Langkah ini bukan hanya dapat memberikan peluang perdagangan baru, tetapi juga memperkukuhkan hubungan ekonomi di perbatasan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pertemuan dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong dianggap sebagai langkah positif untuk meningkatkan kestabilan ekonomi negeri Perlis.
“YB Timbalan Menteri berjanji untuk memberikan sokongan kepada negeri Perlis tanpa mengira warna politik dan beliau menyeru kepada kerjasama yang erat di kalangan semua pihak.
“Perkara ini membuka pintu kepada peluang kerjasama yang baik untuk memajukan negeri Perlis khasnya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











