
GEORGETOWN: Baru sahaja reda dengan gangguan bekalan air berjadual pada 10 hingga 14 Januari lalu, timbul semula masalah kebocoran paip di dasar Sungai Perai.
Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada hantaran Facebook, kebocoran berkenaan dikesan pada jam 5 petang tadi.
“Satu kejadian mengejut telah berlaku di Sungai Perai. PBAPP telah mengesan kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip bawah permukaan air 1,350 mm,” kata PBAPP dalam hantarannya petang tadi.
Dalam kenyataan terbabit menjelaskan kebocoran kali ini menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya Pulau Pinang dan beberapa kawasan Seberang Perai.
“PBAPP sedang berusaha untuk mengepam air melalui saluran paip pada aliran minimum. Langkah ini mungkin akan membawa kepada gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di Daerah Barat Daya (Daerah Barat Daya atau DBD) di Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Seberang Perai.
“Sila ambil perhatian bahawa ini adalah ‘kejadian mendadak’ dan bukan gangguan bekalan air berjadual yang dilakukan oleh PBAPP.
“PBAPP telah mengaktifkan pelan respons kecemasannya. Kami akan menyiarkan kemas kini sewajarnya. Terima kasih,” kata PBAPP.
Pada hantaran terkini Facebook PBAPP, gangguan bekalan air akibat kebocoran paip di dasar Sungai Perai telah merebak ke daerah Timur Laut iaitu meliputi Island Park, Island Glades dan Batu Lanchang.
Untuk rekod, insiden kebocoran paip di dasar Sungai Perai kali ini adalah yang ketiga selepas kejadian sama berlaku pada 18 Disember dan 12 Januari lepas. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











