
KUALA LUMPUR: Pemimpin dalam kerajaan adalah teraju utama dan merupakan faktor paling penting sebagai pencorak dasar perlu dilaksanakan oleh agensi dalam peranan menangani masalah golongan asnaf yang jatuh dalam kemiskinan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, banyak faktor menyumbang pertambahan golongan ini antaranya kematian atau hilang upaya kepada tonggak utama yang menjadi pergantungan keluarga.
“(Juga) bencana yang tiba-tiba berlaku, kemurungan ekonomi yang meningkatkan kos sara hidup dan beberapa sebab lain. Tidak dinafikan golongan ini akan sentiasa wujud. Tetapi ianya tidak boleh dijadikan alasan (oleh kerajaan) untuk menutup kelemahan.
“Perkara tersebut haruslah di tangani melalui kecekapan tindakan diperingkat agensi agar tidak ada golongan ini yang terabai. Membicarakan tentang kemiskinan sudah tentu faktor ekonomi menjadi punca utama yang perlu diberi perhatian untuk mengatasi hal tersebut.
“Tidak guna retorik menoktahkan kemiskinan jika kestabilan ekonomi tidak dapat dicapai. Di sini ia mengundang pula persoalan bagaimana mewujudkan kestabilan atau peningkatan ekonomi yang akhirnya berjaya mengubah angka asnaf kalaupun tidak sifar tetapi ke suatu paras yang semakin menurun dan dapat ditangani dengan berkesan.
“Menjawab persoalan tersebut bukanlah semudah melihat permukaan yang tercoret tanpa menyelami secara menyeluruh sudut permasalahan yang begitu kompleks,” ujar beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol.
Jelas Razman, ini adalah kerana masalah tersebut sebenarnya saling berkait antara setiap sudut kehidupan merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial agama dan moral kehidupan itu sendiri.
Oleh itu tegasnya, jika hanya dicari dalam penyelesaian ekonomi sudah tentu tidak terjawab apabila ada individu yang merasakan dirinya berkecukupan sementara individu lain merasa perlu diberi bantuan.
Beliau yang berpengalaman lama dalam perkhidmatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata, sedangkan realiti sedang wujud menurut perkiraan ekonomi antara setiap mereka itu punyai nilai pendapatan dan perbelanjaan yang tidak sama.
“Kenapa ini berlaku? Sudah tentu ada faktor lain yang menjadikan perbezaan ini wujud. Pendirian agama yang memupuk sifat merasa cukup merupakan antara contoh yang menjadikan nilai cukup dan perlu itu berbeza antara satu sama lain.
“Apabila ini diambil kira maka sudut ekonomi adalah terkesamping dalam mewujudkan moral sebegini tetapi ia menuju kepada bentuk yang lain iaitu pembangunan insan yang juga berperanan amat besar menjadi penentu angkubah senarai panjang pendek golongan asnaf.
“Selain memupuk sifat merasa cukup, pembangunan insan akan turut menjadi asbab kepada wujudnya sikap tidak suka meminta-minta seterusnya menghasilkan mentaliti berdikari, rajin dan nilai positif lain yang membawa impak besar pula kepada ekonomi secara menyeluruh.
“Banyak perkara lain yang boleh diperhalusi dan ditambah baik. Namun semua tanggungjawab itu tidak dapat tidak pasti akan kembali kepada teraju utama atau pemimpin yang mampu menggubal, menggarap dan merealisasikan dasar yang hendak dibawa ke arah kebaikan,” ujarnya.
Oleh itu simpul beliau, bagi menghasilkan pemimpin dengan dasar yang baik itu, jawapan akhirnya akan membuahkan solusi bahawa politik, agama, ekonomi, sosial, moral dan budaya serta semua nilai yang membawa kesempurnaan tidak boleh dipisahkan.
Tegasnya, ia ibarat sebuah roda yang berputar akan pincang jika satu dari komponen mebentuknya itu saling terpisah. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











