58 projek bernilai RM874 juta diterus tahun ini

Ir Mohd Suhaili Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 58 projek sambungan dalam pembinaan di Kelantan yang diurus Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM874 juta diteruskan bermula awal tahun ini.

- Advertisement -

Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail berkata, projek terlibat meliputi pembinaan bangunan dan jalan-jalan di bawah pelbagai kementerian.

“Projek paling banyak yang dikendalikan JKR Kelantan melibatkan dua kementerian.

“Antara projek berkenaan menaik taraf sekolah daif, pembinaan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah dan sebuah sekolah baharu di Tok Bali,” katanya selepas selesai Majlis Apresiasi JKR Kelantan 2023 di sini malam semalam.

Menurut beliau juga JKR Kelantan turut mengurus projek yang dilulus di bawah Rolling Plan 3 (RP3) dan Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula tahun ini.

Kata beliau sebahagian projek RP3 telah bermula dan Surat Setuju Terima (SST) sudah dikeluarkan.

Sementara itu mengenai satatus terkini pembinaan jalan kekal di Km 73.85 Jalan Dabong – Jeli (FT 066) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli katanya masih dalam fasa reka bentuk.

Terdahulu media melaporkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek pembinaan jalan kekal itu dijadual siap dalam tempoh dua bulan sebelum perayaan Aidilfitri dengan kos RM700,000.

JKR Kelantan turut memberi jaminan pembinaan jalan kekal di Dabong-Jeli di Kubur Datu dijangka siap sebelum sambutan Aidilfitri.

Ir Suhaili berkata, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan apabila fasa reka bentuk jalan mengambil masa sehingga dua minggu berikutan kajian tanah perlu dilaksanakan.

“Projek berkenaan masih mengikut jadual ditetapkan. Saya dimaklumkan peringkat ujian tanah sudah selesai dan laporan telah dihantar ke CSFJ untuk dianalisa.

“Projek bernilai kira-kira RM300,000 akan dilaksanakan syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd seperti mana diumumkan oleh menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -