
BENTONG: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) merakam ucapan tahniah dan penghargaan buat guru PASTI Kawasan Bera, Muallimah Siti Aisyah Ishak, atas kejayaan merangkul Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia kali ke-14 yang berlangsung di Nilai Spring Resort, Negeri Sembilan, kelmarin.
Ketuanya, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, melalui anugerah yang diperolehi jelas membuktikan bahawa guru-guru PASTI diberi ruang dan peluang menaik taraf ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka.
Tambahnya, elemen itu semua sangat diperlukan pada masa kini bagi melahirkan anak-anak pelajar sesuai dengan tujuan dan objektif penubuhan PASTI.
“Alhamdulillah, pihak DPPNP juga mengucapkan tahniah dan syabas buat 49 graduan guru-guru PASTI Pahang yang berjaya menamatkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan telah memperolehi anugerah masing-masing di majlis yang sama.
“Kami akan terus memberikan fokus dan menyokong kepada agenda pendidikan Islam di bawah entiti Dewan Pemuda PAS kerana kepentingannya diakui oleh semua pihak,” ujarnya dalam satu hantaran di laman media sosialnya.
Beliau turut merakam sekalung penghargaan buat semua pihak pengurusan PASTI Pahang, Majlis Guru PASTI, semua guru-guru PASTI di negeri Pahang dan semua ibu bapa yang terus menerus menyokong usaha memperkasa pendidikan PASTI.
Ini, katanya bagi mencapai visi dan misi PASTI melahirkan kanak-kanak soleh dan pintar di Malaysia melalui pendidikan pra-sekolah berteraskan Islam. – HARAKAHDAILY 22/1/2024











