Projek PERCA KAIN bantu perkukuh Perlis Geopark

Haziq Ayraf (dua dari kiri) bersama ahli PNX.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Haziq Asyraf Dun menjelajah gua bersama Persatuan Penjelajahan Alam (PNX) wajar diperluas ke kawasan lain juga.

- Advertisement -

Menurut beliau, aktiviti seumpama itu sekali gus dapat membantu menjejaki semula gua terbiar di kawasan masing-masing.

“Selain membantu menjejaki semula gua-gua terbiar, projek ini berpeluang menyampaikan pengetahuan serta kesedaran mengenai kepentingan gua kepada komuniti.

“Perlis mempunyai khazanah alam yang sangat indah, ia perlu dipelihara bersama untuk dijadikan aset tapak geo,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PNX, Syamil Abd Rahman berkata, projek PERCA KAIN (Perlis Cave & Karst Investigation) dimulakan semula pada Ahad, 21 Januari semalam selepas hampir dua tahun terhenti.

Katanya, fokus program tersebut untuk melibatkan komuniti setempat sebagai community warden bagi menjaga tapak warisan gua semulajadi dan perlombongan di kawasan masing-masing.

“Untuk rekod, projek yang bermula sejak tahun 2021 ini telah berjaya merekodkan hampir 60 gua dan formasi batu kapur di seluruh negeri Perlis.

“Jumlah tersebut bagaimanapun masih kecil berbanding anggaran gua-gua di Perlis adalah sekitar 500 melibatkan keseluruhan banjaran Nakawan untuk formasi Setul serta jaringan perbukitan formasi Chuping dan Kubang Pasu,” katanya.

Menurut Syamil, kebanyakan gua tersembunyi di sebalik ratusan ‘wang’ atau lembah itu masih menjadi rahsia alam.

Seorang penyelidik memeriksa sisa tinggalan bijih timah yang terdapat di dalam gua.

“Pemetaan lokasi dan pengumpulan data gua berteraskan nilai semulajadi, sejarah, flora, fauna, geologi dan arkeologi merupakan inisiatif PNX menerusi projek ini.

“Kita sentiasa menyokong gagasan carian penyelidikan (search for research) yang diwujudkan bagi memperkukuhkan sumbangan komuniti dalam pengiktirafan Perlis Geopark,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -