
PASIR MAS: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kelantan turut membantu pihak berkuasa dalam operasi mencari mangsa lemas Norhisyam Ismail yang belum ditemui sehingga sekarang.
Ketua Operasi JAM Negeri Muhammad Arif Zakaria berkata, pihaknya turun padang dengan kekuatan 10 anggota dilengkapi dua bot dan sebuah dron bagi menjalankan operasi mencari di lokasi yang dicadangkan.
Katanya biar pun operasi itu dilengkapi peralatan canggih dan kecekapan anggota penyelamat, namun setakat ini mangsa belum ditemui.
“Kita bersama-sama solat hajat dan berdoa semoga Allah membantu memudahkan pencarian sehingga mangsa ditemui
“Saranan itu turut dibuat Ahli Parlimen Kubang Kerian Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika meninjau operasi mencari di Tendong semalam,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mangsa dilaporkan lemas di Sungai Kelantan pada 15 Januari lalu dipercayai terjun daripada Jambatan Tendong.
Muhammad Arif turut mengucap terima kasih pkeada pasukan keselamatan dan petugas kerana memberi ruang kepada anggota JAM turut menyertai operasi tersebut. – HARAKAHDAILY 22/1/2024











