Himpunan rakyat persembah sokongan kepada Agong

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) menyeru semua pihak hadir dan bersedia untuk himpunan Himpunan Rakyat Daulat Tuanku yang akan diadakan di hadapan Istana Negara, esok.

- Advertisement -

Pengerusinya, Wan Faizul Wan Abas berkata himpunan berkenaan diadakan bagi mempertahankan institusi Raja Melayu dan kedaulatan tanah air.

“Pihak kami berpandangan himpunan rakyat ini wajar diadakan bagi mempersembahkan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas NGO-NGO Terengganu tentang isu-isu semasa di Malaysia dan Terengganu, di holding room, Hotel Permai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga sebab utama Himpunan Rakyat Daulat Tuanku ini wajib diadakan antaranya fitnah tidak bertanggungjawab Anwar Ibrahim dengan mengaitkan Agong dengan rasuah (disebut derma) RM500 juta atau RM700 juta.

“Hantaran yang dibuat oleh beliau di Facebook miliknya bukan sahaja tidak ditarik balik, bahkan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak berkenaan kesahihannya.

“Dalam masa yang sama, banyak tuduhan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim sejak memegang tampuk pentadbiran negara kepada pihak pembangkang masih belum terbukti dan hanya tuduhan semata-mata,” katanya.

Himpunan ini juga, katanya, untuk mempersembahkan keluhan rakyat kepada Raja-Raja Melayu kerana Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini tidak kompeten untuk mengurus ekonomi negara.

Mengulas lanjut kata beliau, pelbagai bukti boleh dilihat, antaranya kenaikan harga beras, bawang, besi, tambang bas sekolah dan pelbagai lagi keperluan asas lain.

“Bukan itu sahaja, Ringgit Malaysia dan Brusa Saham terusa menjunam dan tidak menentu meskipun kerajaan pimpinan Anwar kerap kali bercakap soal formula.

“Selain itu, korupsi dan salah guna kuasa tetap berleluasa, janji yang dilaungkan sebelum ini dilanggar tanpa rasa bersalah. Bahkan, di peringkat Negeri Terengganu, royalti disekat oleh Kerajaan Madani.

Tambah beliau lagi, sikap lemah Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang diperkuda DAP semakin tidak menghormati dan mencabar sensitiviti pribumi (Melayu) dan Islam.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan yang ada pada hari ini perlu berubah atau diubah.

“Pada kesempatan ini juga, patik mewakili sekalian NGO merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat sesuatu.

“Kami yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan Tuanku untuk membantu rakyat berhadapan dengan pentadbiran negara yang gagal ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -