
KOTA BHARU: Rakyat perlu berbangga dengan prestasi ditampilkan kerajaan negeri sejak PAS menerajui pentadbiran Kelantan sejak tiga dekad lalu.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, syariat Islam dijadikan asas utama dalam urusan kerajaan.
Katanya dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dilaksanakan sejak tahun 1990 terus diperkukuhkan dengan Merakyat MBI (MMBI) dan sekarang Penghayatan MBI (PMBI).
“Kali ini PMBI kita nak bawa agenda yang sama, nak beri tahu seluruh rakyat yang berada di mana-mana sahaja, supaya mereka bangga kerana berada di bawah kerajaan ditadbir PAS.
“Kerajaan ini meletakkan dasar Islam sampai ke bila-bila dan menjadikan segala tuntutan syariah yang paling tinggi dalam semua aspek kehidupan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jelajah Penghayatan Membangun Bersama Islam, Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Warga Kelantan di Perantauan 2024 di sini semalam.
Majlis pelancaran PMBI yang diadakan di Bangi Convention Center disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Program yang dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) itu akan diteruskan ke negeri-negeri bagi memberi penerangan kepada anak Kelantan di parantauan.
Mohd Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit berkata lagi, rakyat Kelantan dilimpahi keberkatan kerana kerajaan negeri melaksanakan Islam berpandukan maqasid syariah.
Menurutnya keberkatan itu berpunca komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan serta menjadikan Islam sebagai panduan utama dalam tampuk pentadbiran sejak 33 tahun dahulu.
“Pada era seterusnya meletakkan pelan strategik dalam fasa MMBI dan PMBI sekarang yang perlu dihayati semua rakyat agar dapat menjayakan dasar MBI sekian lama dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2024











