
KUALA TERENGGANU: Program ‘Subuh Macam Jumaat’, ‘Semarak Subuh’ dan seumpamanya telah menjadi fenomena akhir-akhir ini.
Banyak masjid telah dibanjiri dengan jumlah ahli kariah lebih ramai daripada biasa untuk solat Subuh secara berjemaah termasuk kanak-kanak.
Dilaporkan, ada masjid yang terpaksa mengadakan solat Subuh dua kali kerana jemaah yang hadir terlalu ramai.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, masjid yang ada kemampuan kewangan, molek benar menyediakan sarapan pagi sedap-sedap untuk jemaah yang hadir solat Subuh.
“Penuh masjid tak apa. Saya yakin ramai akan infaq demi nak tengok masjid dimakmurkan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Katanya, manfaatkanlah apa cara sekalipun untuk mengajak orang ramai mari masjid.
Menurutnya, ada masjid bagi hadiah basikal untuk anak-anak yang istiqamah sembahyang subuh di masjid dan ada juga masjid yang menyediakan bas untuk hantar anak-anak ke sekolah.
“Ibu bapa hanya bawa anak-anak mari solat Subuh di masjid siap beruniform sekolah, lepas itu mereka boleh pergi kerja,” ujarnya yang juga Adun Jabi.
Tambahnya, urusan anak-anak ke sekolah akan dihantar dengan bas yang disediakan selepas makan sarapan pagi di masjid.
Beliau berkata, pemikiran kreatif seperti itu menarik untuk dicontohi.
Kata Dr Azman lagi, wang masjid bukan untuk disimpan dan dilaporkan dengan jumlah yang banyak dalam mesyuarat akhir tahun.
“Jemaah infaq kerana nak tengok wang tersebut dibelanjakan agar mereka juga ada saham pahala,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/1/2024











