
PASIR MAS: Rakyat Kelantan disaran turut membantu dengan memanjat doa supaya mangsa lemas Norhisyam Ismail, 43, ditemui selepas hilang sejak seminggu lalu.
Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mangsa yang dipercayai lemas di Jambatan Tendong dekat sini masih belum ditemui sehingga hari ini.
Katanya, setakat ini pelbagai usaha telah dibuat termasuk solat hajat di bawah jambatan di tempat operasi mencari, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain sejak operasi menyelamat dilakukan.
“Terima kasih kepada semua pasukan keselamatan yang terlibat mencari mangsa yang lemas sehingga terpaksa bermalam dalam khemah tempat operasi mencari.
“Kita juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa supaya sabar dan tabah menghadapi ujian berat ini,” ujarnya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Pada sesi lawatan itu, Tuan Ibrahim turut menyantuni keluarga mangsa yang turut berada di kawasan operasi mencari.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, di sebalik kejadian sebenar hanya Allah yang tahu kerana manusia itu hanya menilai pada pandangan zahir sahaja.
Beliau bagaimanapun berkata, mutakhir ini kerap terdengar kejadian berkenaan (terjun jambatan) berlaku mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya ada bisikan tertentu menyebabkan pelaku bertindak sedemikian.
“Di sebalik zahir yang kita nampak, mungkin ada bisikan tertentu, gangguan dan sebagainya termasuk faktor luaran.
“Ada juga faktor ekonomi, stres tahap kronik disebabkan cabaran yang kritikal, kebetulan anak-anak nak masuk sekolah, perbelanjaan yang dikenakan agak tinggi, pakaian seragam dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan, sekiranya individu yang mempunyai masalah sedemikian diminta tidak menghadapinya sendirian sebaliknya berkongsi dengan saudara-mara, jiran atau seseorang yang boleh dipercayai.
Tambahnya, sekiranya dipendam dibimbangi masalah yang dihadapi bertambah parah.
Dalam kejadian jam 6.48 petang Jumaat lalu, Norhisyam yang juga seorang peniaga kosmetik dikhuatiri lemas selepas terjun dari Sungai Kelantan di Jambatan Tendong. – HARAKAHDAILY 21/1/2024












