Kempen ‘Subuh Macam Jumaat’ tarik minat kanak-kanak

- Advertisement -

KANGAR: Kempen ‘Subuh Macam Jumaat’ bukan sahaja menarik perhatian golongan dewasa, malah kanak-kanak.

- Advertisement -

Imam 2 Masjid Al-Ghufran Batu 2 Lama, Muhammad Amir Firman Abdul Zainol berkata, kanak-kanak yang hadir itu bukan sahaja di waktu subuh malah tertarik untuk menunaikan solat pada waktu lain juga.

Muhammad Amir Firman Abdul Zainol

“Selepas mengadakan kempen ini bermula hujung tahun lepas, anak-anak ini bukan sahaja hadir waktu subuh malah mereka juga hadir berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak.

“Masa awal-awal kehadiran memang agak bising tetapi Alhamdulillah sekarang mereka solat dengan tertib sekali, jemaah di sini pun seronok dengan kehadiran mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Muhammad Firman lagi, kempen itu dimulakan dengan mengadakan kain rentang di setiap penjuru dewan masjid di samping mengadakan kelas pengajian Al-Quran kepada kanak-kanak.

“Pada permulaannya, kami buat banner di setiap penjuru dewan solat masjid, selain itu masjid adakan pengajian Al-Quran untuk kanak-kanak dan sehingga kini ada 50 orang pelajar.

“Alhamdulillah purata kehadiran pelajar ke solat subuh jemaah setiap hari dalam lingkungan lebih 40 orang,” katanya lagi.

Di samping itu, ujarnya, pihak masjid juga menyediakan wang saku sebanyak RM5 kepada mereka.

“Kita beri wang saku RM5 setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad kepada anak-anak yang hadir dan menyediakan sarapan pada hari minggu.

“Saya harap kempen ini diteruskan juga di masjid lain,” katanya. HARAKAHDAILY 20/1/2024

- Advertisement -