Parti dominan: PAS perlu kuasai isu non-Muslim

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS perlu menguasai isu ‘non-Muslim’ jika mahu menjadi parti yang dominan dalam kerajaan sama ada di negeri Selangor atau Persekutuan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata demikian susulan dalam ucapan dasar Presiden PAS yang menekankan tentang pengaruh PAS kepada non-Muslim masih belum memuaskan.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata, pada 19 hingga 20 Januari ini Lajnah Perpaduan Nasional akan mengadakan retreat khusus untuk membincangkan hal non-Muslim ini.

Katanya, bahkan visi Lajnah Perpaduan Nasional pada tahun 2030 ialah non-Muslim mesti menjadikan PAS sebagai pilihan.

“Sebab itu kita mahu semua negeri akan bersama-sama dalam retreat nanti untuk membincangkan bagaimana cara dan pendekatannya untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Retreat lajnah pada tahun 2024 itu akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Halimah berharap dengan kehadiran Dr Samsuri itu dapat menguatkan lagi strategi PAS Pusat untuk mendapatkan sokongan bertambah daripada pengundi non-Muslim.

Arahan PAS Pusat juga kata beliau boleh dibuat terus daripada pusat hingga ke akar umbi terutama di Selangor.

“PAS mahu menjadi parti dominan dan kerajaan di Selangor dan juga Pusat. Sudah tentulah kita perlu menguasai isu non-Muslim sehingga mereka menjadikan PAS parti pilihan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2024

- Advertisement -