
KUALA TERENGGANU: Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kini menjadi destinasi tumpuan utama pelancongan pendidikan di negeri ini.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ini dapat dilihat dengan peningkatan ketara pengunjung ke PSKT daripada 100,000 lebih pengunjung pada 2022 kepada 150,000 lebih pengunjung pada 2023.
“Insya-Allah pada tahun 2024, PSKT komited dengan kedatangan yang lebih ramai dan menyasarkan 200,000 pengunjung dengan pelbagai program menarik yang dirancang sepanjang tempoh tersebut.
“Lebih-lebih lagi, ia bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat dari negeri kita, bahkan pengunjung dari Pantai Timur terutamanya pelajar sekolah yang ingin merasai pengalaman menarik melalui pembelajaran sains yang interaktif,” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.
Beliau memaklumkan, untuk tahun 2024, PSKT akan mengetengahkan tema Sains: Warisan Kesenian dan Kebudayaan yang menonjolkan prinsip sains dalam kehidupan.
Terbaru, ujarnya PSKT juga telah membuka Galeri Mini Solar Farm awal Januari lalu hasil kerjasama kerajaan negeri dan Terengganu Inc.
Jelas beliau, ia merupakan satu lagi pembangunan ilmu yang ditawarkan kepada pengunjung agar sentiasa memenuhi kehendak dan kepentingan masyarakat.
“Tahniah seluruh warga PSKT atas kejayaan membanggakan ini hasil pembaharuan yang dilaksanakan.
“Jom, rasai pengalaman menarik di PSKT,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kemaman. – HARAKAHDAILY 16/1/2024











