Maahad Muhammadi sambut 100 tahun pada 2037

- Advertisement -

KOTA BHARU: Maahad Muhammadi Lelaki (MML) yang merupakan sekolah legasi para ulama dan ilmuan Islam di Kelantan pada masa lalu akan menyambut satu abad penubuhannya kira-kira 13 tahun dari sekarang.

- Advertisement -

Mudirnya, Ustaz Kamarjan Abdul Rahman berkata, MML yang menduduki kawasan strategik di laluan utama menjadi perhatian semua pihak termasuk luar negara.

Menurutnya, MML sebenarnya menjadi imej dan wajah kerajaan Kelantan kerana sekolah terbabit merupakan antara syiar Islam yang ada di negeri itu.

“Kerana itu, MML perlu dilihat sentiasa segar dan cergas walupun usianya kini telah menjangkau 87 tahun penubuhannya dan bakal melalui ulang tahun setengah abad penubuhannya 13 tahun lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kiosk MML yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Sebanyak enam buah kiosk dibina oleh MML sebagai usaha menampung pendapatan bulanan sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa serta pelajar, alumni MML serta masyarakat sekitar yang perihatin terhadap pembangunan sekolah.

“Pihak sekolah juga ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan di atas sumbangan kewangan yang diberikan,” ujarnya.

Katanya, MML sentiasa berusaha untuk melahirkan pelajar berjaya dan cemerlang dalam semua aspek seterusnya mengembalikan kegemilangannya seperti yang telah dilakar oleh bekas pelajar sebelum ini.

Tambahnya, semoga perasmian kiosk itu menjadi sebahagian sejarah yang akan dipersembahkan kepada generasi akan datang ketika mereka hadir pada majis sambutan 100 tahun pada 1 April 2037.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Keluarga negeri, Rohani Ibrahim, Pengarah YIK, Nik Mohd Hassanuddin Nik Husain dan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

- Advertisement -