
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan mengambil tindakan saman kepada pihak yang membuat tuduhan rasuah mengaitkan beliau, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan tiga individu lain.
Katanya, surat saman itu akan dihantar ke rumah dan pejabat pihak berkenaan dalam masa terdekat.
“Sila tunggu surat saman di rumah dan di pejabat masing-masing,” ujarnya di media sosialnya, di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden KFA berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan tuduhan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi.
Katanya lagi, pihak terbabit dilihat bersungguh-sungguh menggambarkan berlaku rasuah RM6 juta dalam KFA.
Sebelum ini Sanusi menegaskan, tuduhan yang melibatkan empat individu berkenaan adalah fitnah dan sengaja dilakukan untuk mencapai tujuan politik pihak tertentu selain memburukkan KFA dan pemimpin kerajaan Kedah.
“Saya akan mendedahkan beberapa dokumen berkaitan bagi menunjukkan kebenaran yang berlaku.
“Sama ada dokumen yang bersabit dengan penswastaan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), permohonan pinjaman RM5 juta, bayaran balik RM1.3 juta, permohonan projek oleh pihak-pihak terbabit yang tidak diluluskan kerana tiada kelayakan, dokumen penyata beraudit yang menunjukkan ketelusan pengurusan kewangan KFA dan lain-lain juga akan didedahkan,” tambahnya.
Semalam beliau hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kes rasuah bernilai RM6 juta yang dikaitkan dengan KFA.
Sanusi melalui sidang media, 8 Januari lalu berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama 28 jam pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Dalam pada itu beliau menyifatkan tuduhan sebenarnya bukanlah kepada empat individu berkenaan sebaliknya terhadapnya.
Sungguhpun begitu katanya ada pihak lain sepatutnya dikenakan tindakan dan bukan empat individu ditahan SPRM. – HARAKAHDAILY 12/1/2024











