Israel akan dibicarakan atas jenayah perang di ICJ, hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Israel akan dihadapkan kepada dakwaan melakukan jenayah perang di Palestin dalam perbicaraan bakal diadakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada hari ini dan esok.

Afrika Selatan bertindak memulakan prosiding dengan mengheret rejim Zionis itu kepada pertuduhan melakukan keganasan jenayah genosid dan diputuskan segera telah melanggar Konvensyen Genosid 1948.

- Advertisement -

Pengasas Projek Kemanusiaan dan Kebudayaan Global Baitulmaqdis, Prof Dr Abd Fattah El-Awaisi berkata, dalam dunia di mana kepercayaan terhadap institusi global semakin terhakis cepat, ICJ tidak boleh membuat penghakiman yang salah.

Menurutnya, salah pertimbangan dalam kes pembunuhan beramai-ramai bukan sahaja akan menekankan ketidakberkesanan ICJ, tetapi juga penelitian segera mengenai autonominya.

Beliau merujuk kepada pengaruh politik negara bangsa yang berpotensi menjejaskan watak moral individu dihormati dan amat sedar betapa beratnya kes tersebut, serta percaya keupayaan yang ada kepada ICJ.

“Untuk (kalian) membezakan kebenaran, menentang tekanan luaran, dan menyampaikan penghakiman yang adil adalah paling penting dalam fikiran (kalian),” ujarnya dalam surat kepada Presiden ICJ dan hakim-hakim kes itu.

Beliau memetik Konvensyen Genosid 1948 sebagai asas undang-undang antarabangsa yang menjadi komitmen untuk ‘tidak lagi’ membenarkan kekejaman seperti yang dilakukan oleh Nazi dalam Perang Dunia Kedua. 

Katanya, 152 daripada 194 negara di dunia secara terhormat telah menandatangani konvensyen itu yang menjadi bukti generasi moyang terdahulu kepada satu set piawaian dalam membentuk prinsip benar dan salah.

“Hakikat bahawa tanggungjawab menghakimi kes ini telah jatuh ke atas bahu anda (untuk) menggariskan kebenaran dari kekecewaan (akibat) kegagalan sistem semak dan imbang sedia ada dalam masyarakat antarabangsa. 

“Sungguh membingungkan bahawa kepentingan negara telah mencemarkan operasi sistem global kita, membolehkan pembunuhan besar-besaran orang awam berterusan tanpa campur tangan. 

“Saya mendapati realiti ini mengerikan, begitu juga dengan ramai rakyat di seluruh dunia yang telah menyatakan kengerian mereka melalui protes di jalan-jalan bandar di seluruh dunia.

“Kes yang akan datang adalah ujian litmus untuk komitmen manusia terhadap ikrar ‘Tidak Akan Pernah Lagi’ (kengerian Holocaust),” ujar beliau yang juga pensyarah hubungan antarabangsa di beberapa universiti dunia.

Prof Dr Abd Fattah turut memetik keputusan ICJ pada Mac 2022 ke atas Rusia untuk menggantung serta-merta operasi ketenteraan di Ukraine dan memastikan para sekutunya tidak melakukan operasi ketenteraan selanjutnya.

Bentangnya, dianggarkan 10,000 orang awam telah kehilangan nyawa mereka secara tragis di Ukraine sejak operasi ketenteraan Rusia pada 2022, namun perbandingan lebih teruk berlaku di Gaza.

“Angka kematian di Gaza telah melebihi 30,000 sejak Oktober 2023, dengan 70 peratus daripada mangsa yang mengejutkan adalah wanita dan kanak-kanak,” ujarnya yang turut kehilangan ahli keluarga sebelah mentua 25 Disember baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau agak sukacita apabila pada zaman di mana media arus perdana menghadapi keraguan kerana persepsi berat sebelah, masyarakat global telah menyaksikan tindakan sebenar Israel melalui pelbagai platform media sosial.

“Seperti yang anda sedia maklum, anda akan temui bukti kukuh yang menunjuk ke arah kesalahan Israel dalam berniat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dan terlibat dalam tindakan ketenteraan antara lain yang didakwa sebagai jenayah perang,” ujarnya.

Pada tahun 1945 katanya, dunia meraikan Winston Churchill sebagai pemimpin yang membawa dunia bersama-sama untuk meredakan ancaman Nazi Jerman dan kengerian yang ditimbulkannya dari peperangan. 

“Perang itu meragut lebih 50 juta nyawa. (Tetapi kini) Kami tidak mahu meraikan pahlawan zaman perang lagi. (Sebaliknya) Kami ingin meraikan wira baharu yang mengelak peperangan dengan mengetuai keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya dengan rendah hati memohon agar tuan puan mendekati kes ini dengan penuh ketekunan, kesaksamaan, dan komitmen terhadap keadilan. Mata dunia tertuju kepada tuan puan.

“Dan keputusan kes ini akan bergema melalui sejarah, membentuk persepsi tentang kesaksamaan dan kedudukan moral ICJ,” ujarnya memberikan harapan. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -