Peruntukan MOTAC: Perlis belum terima maklum balas

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan negeri menzahirkan kekecewaan terhadap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) apabila tiada sebarang maklum balas diterima berhubung peruntukan naik taraf infrastruktur sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, menteri berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

“Kita mohon RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di negeri ini untuk memberi keselesaan buat pengunjung sempena TMPs nanti.

“Contohnya seperti laluan masuk ke Superfruits Valley kerana bas tidak dapat akses ke kawasan berkenaan jadi ia menyukarkan pengunjung untuk masuk ke sana dan kerana itulah juga kita perlukan peruntukan ini.

“Jumlah RM4 juta yang kita minta ini juga adalah berdasarkan had ditetapkan MOTAC di mana satu lokasi pelancongan itu kita mohon sekitar RM250,000 untuk menaik taraf infrastruktur dan prasarana untuk kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang peruntukan dari MOTAC sempena TMPs walaupun pelancongan negeri dilihat sedang melonjak naik dan menjadi tumpuan pelancong.

Dalam pada itu Shukri menegaskan pihaknya tidak pasti sama ada wujud unsur-unsur politik dalam perkara tersebut, kerana negeri seperti Perak dan Melaka sudah menerima peruntukan itu.

“Kalau tak mau mai berjumpa pun tak apa tetapi duit peruntukan kena bagilah. Perak dan Melaka dah terima peruntukan MOTAC tapi Perlis masih tiada maklum balas sehingga kini.

“Sepatutnya peruntukan ini diterima sejak tahun lepas lagi, tetapi tiada maklum balas apa-apa, jadi kita pun kecewa jugalah,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -