Khidmat Malaysia Pahang bantu mangsa banjir Kelantan

khidmat-malaysia-pahang
- Advertisement -

LIPIS: Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Pahang telah menyumbang RM17,475 kepada Khidmat Malaysia Pusat bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri Kelantan.

Pengarah Khidmat Malaysia Pahang, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman berkata, bantuan kepada mangsa banjir itu disalurkan menerusi Khidmat Malaysia Pusat untuk diagih-agihkan terus ke kawasan yang terjejas banjir.

”Kita semua maklum dengan keadaan banjir yang melanda di beberapa kawasan di Kelantan baru-baru ini agak teruk dan ramai mangsa yang terlibat, justeru itu kita berharap dengan sedikit sumbangan dari Khidmat Malaysia Pahang ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mereka.

“Sumbangan dana yang terima ini adalah hasil daripada kutipan dari seluruh cawangan Khidmat Malaysia di negeri Pahang termasuk juga dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini yang sentiasa bergerak bersama kami.

“Selain itu, Khidmat Malaysia Pahang juga turut menyumbangkan 800 beg beras yang diagihkan mengikut DUN di tiga kawasan Parlimen yang terjejas teruk akibat banjir,” ujarnya.

Maklum beliau, Khidmat Malaysia Pahang dari kawasan Lipis dan Maran malah turut telah menghantar pasukan mencuci kediaman yang dilanda banjir ke negeri itu dalam usaha meringankan beban mangsa.

“Khidmat Malaysia Pahang merakam ucapan jutaan terima kasih kepada semua penderma dan pihak yang terlibat dalam usaha ini, semoga diberikan ganjaran pahala yang banyak oleh Allah.

“Ini adalah manifestasi dan solidariti serta keprihatinan komuniti dalam menangani bencana banjir yang melanda negeri Kelantan,” ujarnya lagi.

Semua sumbangan dari Khidmat Malaysia Pahang untuk mangsa bencana banjir di Kelantan telah disampaikan oleh wakilnya Mat Yunus Ismail, yang juga Penyelaras Khidmat Malaysia Jerantut bersama 18 ahli.

Manakala majlis pelepasan rombongan wakil tersebut telah dilaksanakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Roslan Zainal al-Ahmadi di Markas PAS Kawasan Lipis, Kampung Berembang, di sini. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -
- Advertisement -