
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim memuji usaha Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) melaksanakan program gotong royong mengindah serta membersihkan kawasan.
Operasi gotong royong yang diadakan semalam, melibatkan MPKK Kampung Guar Sanji dan Kampung Paloh.
Kata Ridzuan, aktiviti itu bukan sahaja meningkatkan keindahan malah memberi kemudahan kepada penduduk sekitar.
“Alhamdulillah usaha pengerusi MPKK bersama penduduk kampung dapat memberi kebaikan kepada penduduk setempat di samping mencantikkan kawasan ini,” kata beliau.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan MPKK Guar Sanji termasuklah jejantas kereta api yang menghubungkan Kampung Simpang 3 Guar Sanji dengan Kampung Bela Batu.
Sementara kerja-kerja meracun dan menebas rumput di sepanjang sungai Mentalon dilakukan oleh MPKK Kampung Paloh.
“Langkah ini tidak hanya menjaga kebersihan sungai, tetapi juga memberi sumbangan kepada kelestarian alam sekitar,” tambahnya lagi.
Beliau yang mewakili Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Guar Sanji menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua MPKK terbabit atas kejayaan penganjuran program gotong royong tersebut.
“Tahniah disampaikan atas semangat kerjasama dan usaha bersama dalam memperbaiki dan memelihara kawasan masing-masing.
“Kejayaan ini mencerminkan kebersamaan komuniti setempat dalam menjadikan kawasan mereka lebih bersih dan teratur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2024











