
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, memberi peringatan kepada masyarakat berkaitan keusahawan dan kemajuan masyarakat.
Baginda menggariskan kepentingan kemajuan diri, keluarga, dan komuniti sebagai satu nilai terpenting dalam agama Islam.
“Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima, justeru, saya berharap golongan asnaf, terutamanya yang sihat akan menjadi ‘tangan-tangan’ yang memberi dan bukan hanya ‘tangan’ yang menerima.
“Maksudnya anda akan menjadi sebahagian dari mereka yang bakal menjadi pembayar zakat suatu hari nanti, insya-Allah,” ujar baginda semasa menyampaikan zakat di Masjid Al-Aziz, Tok Kaya, Kayang, Kuala Perlis, di sini hari ini. Turut hadir anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Seramai 140 orang asnaf terpilih menerima sumbangan zakat sejumlah RM700 setiap seorang daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Baginda juga menekankan kelebihan pelepasan cukai pendapatan untuk setiap sumbangan zakat melalui MAIPs mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.
Majlis tersebut tidak hanya terhad kepada penyampaian zakat, malah melibatkan pemeriksaan saringan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis untuk penerima sumbangan.
Para penerima juga mengambil bahagian dalam sesi ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’, yang disampaikan oleh pegawai dari Polis DiRaja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 7/1/2024











