
Perkembangan dunia menuju ke arah pemodenan yang begitu pesat telah menimbulkan pelbagai masalah baharu dalam kehidupan manusia terutamanya berkaitan masalah psikologi atau masalah yang berkaitan dengan jiwa seseorang.
Masalah kesihatan mental yang semakin meningkat telah menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia termasuklah negara kita sendiri.
Menurut kajian Morbidity Kesihatan Peringkat Kebangsaan pada tahun 2015, sejumlah 600,000 kanak-kanak berusia 5 tahun hingga 16 tahun menderita akibat masalah mental.
Jika mengikut keseluruhannya, 4.2 juta daripada 30 juta rakyat negara kita mengalami masalah ini dan sudah pasti jumlah manusia yang mengalami masalah kemurungan pada hari ini semakin meningkat dari tahun-tahun sebelumnya.
Menurut mantan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, setelah dibuat kajian melalui saringan secara keseluruhan pada tahun 2022 dengan mengambil 336,900 responden, sebilangan besar yang mengalami masalah kemurungan adalah golongan anak muda.
Gangguan mental ataupun penyakit mental adalah suatu kondisi kesihatan yang boleh menyebabkan perubahan pada keupayaan seseorang untuk berfikir serta mampu bertindak di luar kawalan, seperti memilih untuk bunuh diri sebagai penyelesaian dan pengakhiran segala masalah yang dipendam sekiranya sudah sampai pada tahap tidak mampu mengawal diri kerana tekanan emosi.
Masalah kemurungan yang dialami sebilangan besar anak muda hari ini ialah sejenis penyakit mental yang dikategorikan sebagai perasaan sedih yang teramat sangat.
Setelah membuat kajian, antara salah satu sebab berlakunya kemurungan dalam golongan anak muda ini adalah mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah dan gaya pendidikan serta budaya yang diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil – membentuk fenomena negatif ketika mereka besar dan mempengaruhi keadaan psikologi anak-anak mereka tanpa mereka sedari.
Majoriti ibu bapa sibuk bekerja
Sejak negara menikmati arus kemerdekaan, majoriti ibu bapa hari ini terlalu sibuk bekerja serta banyak bergantung kepada teknologi untuk berkomunikasi dan kurang meluangkan masa yang ada dengan anak mereka sendiri.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa masa kini juga kebanyakannya berharap supaya anak-anak sentiasa memahami keadaan mereka yang kepenatan saat pulang dari bekerja seharian dan pada akhirnya anak-anak kurang kasih sayang ibu bapa serta tiada tempat bercerita dan meluah perihal seharian mereka.
Tanpa mereka sedar, dari situlah tercetusnya masalah sosial dalam kalangan anak muda. Impaknya, anak-anak lebih banyak meluangkan masa lapang bersama rakan, berkongsi masalah.
Apa yang paling membimbangkan apabila merekamula menumpang kasih pada orang yang dianggap teman atau pasangan. Ketika inilah ibu bapa cenderung meletakkan kesilapan di bahu anak.
Mereka lupa bagaimana bentuk didikan yang diberikan sepanjang membesarkan anak mereka.Sedangkan mereka sepatutnya merenung kembali setiap kelemahan yang ada dalam diri sehingga membawa kepada runtuhnya akhlak anak.
Selain itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa sikap tegas ibu bapa sangat penting saat mendidik anak, namun seandainya ibu bapa terlalu bertegas dengan anak-anak juga mampu mendatangkan perkara yang tidak baik.
Anak-anak akan cenderung berasa mereka tidak disayangi sekali gus akan menjejaskan emosi anak-anak.
Kesannya, anak-anak akan membesar menjadi seorang yang pendiam, banyak melakukan hal sendiri berbanding meluangkan masa lapang dengan ibu bapa mereka mahupun keluarga serta lebih gemar untuk terus memendam segala yang dirasa, segala masalah yang dihadapi kerana takut dimarahi, digelar manja oleh ibu bapa mereka sendiri.
Seperkara lagi, setiap ibu bapa juga menginginkan kejayaan buat anak-anak mereka sekaligus mengharapkan agar segala penat lelah serta pengorbanan yang mereka lakukan selama ini terbalas. Namun tanpa disedari, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu menekan anak-anak mereka dalam pelajaran menyebabkan anak-anak mereka sering tertekan dan terlalu memaksa diri mereka untuk mencapai sasaran yang diharapkan oleh ibu bapa.
Tidak mustahil, perkara ini akan membuatkan anak-anak bertambah stres dan kemurungan apabila sasaran yang diberikan itu tidak dapat dicapai serta dibandingkan dengan anak kawan-kawan ibu bapa mereka yang memperoleh kejayaan.
Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajaran amat penting dalam kehidupan, namun perlu diingatkan juga bahawa tidak semua anak memiliki tahap kepandaian yang sama.
Maka, ibu bapa haruslah berpada-pada dalam meletakkan sasaran untuk anak-anak supaya mereka tidak berasa tertekan dan dapat menjalani kehidupan seharian mereka seperti anak-anak lain.
Berpada-pada dalam mendidik
Ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam memastikan emosi anak-anak terjaga. Sebagaimana yang kita tahu, kehidupan yang bahagia datang daripada pemikiran yang positif serta persekitaran yang baik.
Layanan dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka dapat menerapkan nilai positif dalam diri anak-anak.
Anak-anak yang terjaga emosinya akan sihat tubuh badan dan sentiasa aktif. Dengan erti kata lain, ibu bapa harus sentiasa berpada-pada dalam mendidik anak-anak.
Ini kerana jika terlalu keras didikan yang diberi, ia akan menyebabkan anak-anak rasa kurang disayangi serta mengalami masalah mental seperti mengalami kemurungan dan gangguan mental pada usia mudanya.
Oleh itu, ibu bapa juga perlu sentiasa menjaga sikap mereka dan menjadi teladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak merupakan kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan kain tersebut.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, apabila emosi seseorang individu tercalar, tidak kira berlaku dalam kalangan orang muda mahupun sudah berusia,pelbagai perkara negatif yang akan datang kepada individu tersebut.
Sebagai contoh, gangguan tidur seperti kesukaran untuk tidur ataupun tidur berlebihan, sukar untuk fokus di dalam pelajaran mahupun kerja, menjauhkan diri daripada kawan-kawan dan lebih gemar bersendirian.
Hakikatnya, jika seseorang itu sering berdepan dengan keadaan yang tidak baik ketika mereka membesar, itulah yang akan mereka ikuti saat mereka besar dan kadangkala turut membuatkan orang-orang yang berada di sekeliling mereka tidak selesa ketika berada dekat dengannya.
Mereka yang mengalami kemurungan akan lebih cenderung untuk bertindak kasar serta sukar menilai kasih sayang sebenar kerana tidak pandai menilainya dan lebih teruk lagi apabila seseorang individu tersebut sanggup melukakan anggota badan mereka sendiri sebagai satu kepuasan atas segala masalah dan perasaan yang dipendam sekian lama.
Dalam Surah Al-Maarij, Allah SWT berfirman bahawa manusia dijadikan dalam keadaan keluh kesah. Apabila mereka ditimpa kesukaran, kemiskinan, kesakitan mahupun bencana, mereka akan berasa sedih serta susah hati.
Sementara, tatkala manusia diberikan kenikmatan, kesenangan, kesihatan dan kebaikan, mereka lupa untuk bersyukur dan menjadi tamak serta enggan menunaikan hak-hak Allah SWT. Hal ini turut dinyatakan di dalam Surah Al-Zumar (39: 8) dan juga dalam Surah Yunus (10: 12).
Sepertimana yang kita tahu, tidak semua pasangan dikurniakan zuriat. Maka seharusnya setiap pasangan yang dikurniakan zuriat haruslah mempunyai rasa syukur terhadap pemberian Ilahi dengan memelihara cahaya mata yang dikurniakan pada mereka dengan sebaiknya kerana tidaksemua pasangan dapat merasai nikmatnya mempunyai cahaya mata dalam keluarga.
Hargailah selagi ada dengan sebaiknya sebelum terlambat dan berasa kekesalan saat hilangnya cahaya mata daripada hidup kita. Didiklah mereka dengan cara yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Peliharalah juga jiwa mereka dengan al-Quran dan akidah Islam yang jitu dan unggul supaya dapat menjadi anak yang soleh dan solehah serta bermanfaat buat umat dan negara di masa hadapan.
‘Musuh dalam diam’
Namun, seandainya ibu bapa sudah tersilap langkah dalam mendidik anak dan menyedari bahawa anak mereka mempunyai simptom-simptom kemurungan seperti yang dinyatakan, percayalah masih belum terlambat untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan daripada kaunselor-kaunselor bertauliah serta nasihat daripada mereka yang pakar berkaitan psikologi.
Segala perkara buruk yang terjadi dalam kehidupan kita tidak lain tidak bukan semestinya ingin memberikan pengajaran kepada kita, seorang manusia yang bergelar hamba.
Menurut Al-Ghazali, hati manusia ini umpama raja dan anggota pancaindera manusia pula diumpamakan sebagai tentera dalam sesebuah negara.
Tentera tersebut akan patuh segala perintah raja. Ini bermakna segala perbuatan atau tindakan fizikal seseorang individu adalah di bawah kawalan hati.
Di samping itu, terdapat juga tentera yang berbentuk batin iaitu syahwat dan amarah. Menurut Al-Ghazali lagi, ada masanya tentera batin ini akan tunduk dengan perintah hati, namun kadangkala mereka menentang dan saling berhubung dengan syaitan yang akan menyebabkan syahwat dan akan menguasai diri seseorang yang akan membawa kepada kebinasaan.
Sementara itu, hati masih boleh meminta pertolongan dengan tentera lain yang disebut sebagai ilmu, hikmah serta pemikiran yang akan membawa seseorang hamba kembali kepada Tuhannya.
Di saat semakin hari beban terasa semakin berat, pikiran terasa semakin penat, hujan kesedihan semakin lebat, dan jiwa terasa semakin terikat kuat, apakah saatnya kita bertekuk lutut dengan ini semua?
Tidak, karena Allah SWT telah berjanji bahawa “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.
Barangsiapa bertawakkal kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mencukupkan segala keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (QS. Ath Thalaq : 2-3)
Secara konklusinya, dunia hari ini menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh mengalami masalah kemurungan tanpa mengira usia, jantina atau bangsa malah kanak-kanak seawal usia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan dan perbezaannya adalah pada simptom dan cara seseorang itu menangani gangguan mental yang mereka alami.
Hakikatnya, kemurungan bukanlah satu kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak serta memerlukan rawatan dan bantuan daripada pakar bertauliah yang dapat membimbing mereka menghadapi masalah kemurungan.
Masalah kemurungan ini boleh menjadi ‘musuh dalam diam’ jika terus ‘dinafikan’ atau tidak disedari serta terus dipandang enteng oleh sesetengah pihak.
Walau bagaimanapun, jika gejala kemurungan ini disedari awal dan seterusnya didiagnosis, masalah kemurungan akan menjadi “musuh nyata” yang boleh dikawal dan dirawat.
Justeru itu, adalah amat penting bagi setiap ahli masyarakat kita untuk sentiasa peka, peduli, dan prihatin dengan segala perubahan mental, emosi dan tingkah laku diri sendiri serta perubahan yang berlaku kepada individu-individu yang berada di sekeliling kita.
Keprihatan setiap ahli masyarakat berkaitan isu kesihatan mental sebegini bukan sekadar mampu membentuk masyarakat yang sejahtera tetapi mampu menyelamatkan nyawa seseorang. – HARAKAHDAILY 7/1/2024

Siti Aishah Humaira Zamrose ialah pelajar Universiti Sains Islam (USIM)
PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia nerupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











