
PADANG BESAR: Tanjak atau lebih dikenali dengan panggilan tengkolok merupakan setangan kepala yang disarung alas kepala yang dipakai secara tradisi dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya kaum lelaki namun ada juga kaum wanita yang memakainya.
Ia juga dikenali sebagai destar yang menjadi busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Pada asalnya, kita semua tahu yang tanjak sering digunakan oleh para kerabat istana dan golongan pahlawan sahaja tetapi sejak akhir-akhir ini budaya seperti itu dihidupkan semula agar ia tidak hanyut ditelan kemodenan serta perubahan zaman.
Pengusaha Tok Togok Legacy, Nor Amrul Amri Chan, 42, berkata, tanjak jenis Putra Julang Darjat kini menjadi pilihan utama pelanggan dengan permintaan yang tinggi, khususnya sebagai tanjak rasmi negeri Perlis.
Justeru perniagaan yang diusahakan oleh beliau bukan sahaja mendapat sambutan positif dalam kalangan orang ramai malah berkembang dengan baik.
“Tanjak ini mendapat populariti tidak hanya semasa musim perayaan, tetapi juga di masa lain. Ini menandakan penghargaan terhadap warisan budaya,” katanya ketika ditemubual Harakahdaily.
Jelas beliau, isterinya Nor Hafiza Md Nir, 44, turut berperanan besar dalam memajukan perniagaan ini setelah mengikuti Bengkel Penyediaan Seni Lipatan dan Pengurusan Lipatan Tanjak Putra Julat Darjat.
Pada awalnya, mereka menerima dana awal RM700 dari Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) untuk memulakan perniagaan tersebut dan membeli peralatan serta mesin.
“Kami menerima permintaan tinggi terutama semasa musim kenduri dan perayaan, termasuk daripada pengantin, peminat tanjak, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), dan tokoh masyarakat.
“Harga tanjak ditawarkan dalam pelbagai rentang, dengan harga serendah RM50, dan tertinggi RM150, bergantung kepada jenis kain dan saiz pemakai,” katanya.
Kata Amrul, usaha mereka bukan hanya terhad kepada jualan tanjak, tetapi juga menyediakan perkhidmatan sewaan untuk Tanjak Putra Julang Darjat dengan harga satu set RM80 merangkumi tengkolok, bengkung, dan sampin.
“Setiap set tanjak dijual pada harga RM350, termasuk tengkolok (RM150), bengkung (RM50), dan samping (RM180) serta menawarkan pilihan yang berpatutan kepada pelanggan,” ujarnya lagi.
Tanjak Tok Togok Legacy juga menjadi tengkolok rasmi negeri yang dilancarkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada September 2019. – HARAKAHDAILY 6/1/2024












