Jika Persekutuan tumbang, Pahang turut jatuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menjangkakan jika kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tumbang, Pahang juga akan jatuh.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Aireroshairi Roslan berkata, kejatuhan itu bukan kerana ditebuk tetapi keserasian yang semakin hari semakin retak menanti belah.

“Kalau perkara tu berlaku di Pahang, kami sudah kenal pasti dan hanya tinggal untuk muktamadkan sahaja lima atau tujuh ADN (Ahli Dewan Negeri) Umno Pahang yang telah bersedia untuk bersama PAS Pahang membentuk kerajaan negeri dalam masa paling lama tujuh hari selepas perubahan di Putrajaya selesai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, penjenamaan ‘langkah’ demi ‘langkah’ bermula 10 tahun yang lalu, telah menjadi trend politik Malaysia yang menyumbang kepada ketidakstabilan politik.

“Langkah Kajang, Langkah Sheraton, Langkah Dubai merupakan nama yang dijenamakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Yang nyata, semua ini bermula dari bekas PM ‘in waiting’ yang paling lama dalam sejarah, akhirnya berjaya menjadi PM yang seterusnya. Entah berapa lama kerajaan ini akan bertahan.

“Tanpa angin dan ribut, tiba muncul nama Langkah Dubai, yang kemudiannya disakat dan dicuit oleh panglima perang PAS, (Dato’ Seri Muhammad) Sanusi. Isu ini terus menjadi semakin panas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP sedang memperkudakan Umno untuk mencapai matlamat politik mereka.

“Umno sedang terkial-kial mempertahankan kewujudan mereka dalam arena politik negara, menyebabkan mereka perlu bersama DAP.

“PKR pula menjadi alat Anwar Ibrahim untuk memegang tampuk kuasa. Keadaan politik Malaysia serba tak kena,” ujarnya.

Menurut Aireroshairi gabungan parti kerajaan yang mempunyai ‘interest’ atau minat yang berbeza juga dilihat tidak akan bertahan lama.

“Saya rakyat biasa yang merasakan tekanan ekonomi yang tidak pernah dirasakan sebelum ini juga sangat berharap kerajaan sedia ada tidak bertahan lama.

“Kegagalan dalam mengurus negara ini nampak jelas pada pengurusan barangan keperluan asas yang tidak stabil.

“Harga barang meningkat, kekurangan beras, ayam dan telur dipasaran, masalah hubungan diantara kaum yang sentiasa panas, merupakan indikator kelemahan PH-BN dalam pemerintahan,” katanya.

Rakyat juga katanya, berada dalam kelemasan dan semakin hari semakin hilang kemampuan untuk bertahan dengan suasana sosioekonomi dan politik yang terumbang ambing. – HARAKAHDAILY 6/1/2024

- Advertisement -