
KOTA BHARU: Pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) November lepas sudah dibincang mengenai kaedah menangani masalah banjir terutamanya kesan pembinaan benteng Sungai Golok.
Isu tersebut dibawa Adun Gual Periuk, Kamaruzaman Mohamad. Malah perbincangan dengan jabatan berkaitan juga sudah diadakan.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, buat masa terdekat kerajaan negeri tidak akan mengadakan sidang Dun khas berbincang pelan perparitan holistik.
Sebaliknya kata beliau kerajaan negeri sedang membuat persediaan bagi mengadakan sidang Dun berdasar jadual yang ditetapkan pada Mac hadapan.
“Pun begitu, kita tengok dahulu mengenai cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan mengenai pelan perparitan holistik.
“Sekiranya pihak terbabit mempunyai cadangan penyelesaian, kerajaan negeri bersedia mendapat gambaran lebih jelas.
“Kita terbuka hendak mendengar cadangan daripada semua pihak dan kalau boleh cadangan yang konkrit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam 2024 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Program terbabit dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Media sebelum ini melaporkan ABIM Kelantan menggesa kerajaan negeri mengadakan sidang Dun khas untuk membincangkan isu berkait pelan perparitan holistik.
Pada 22 Disember lepas ABIM mencadangkan Kerajaan Kelantan membentangkan Pelan Perparitan Holistik untuk menangani masalah perparitan yang menyebabkan banjir terutamanya di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Sedangkan bandar besar seperti Kuala Lumpur yang lengkap dengan kemudahan sistem perparitan canggih termasuk di bawah tanah juga berlaku banjir ekoran hujan lebat.
Dr Mohamed Fadzli berkata, sekiranya ABIM ada cadangan penyelesaian kerajaan negeri sedia untuk mendapat gambaran lebih jelas.
“Perkara itu juga dibincang pada sidang Dun Mac nanti,” katanya.
Menurutnya kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini turut dibincang termasuk mengenai masalah banjir di negeri itu.
“Apa sebahagiannya sudah dibincangkan dan banyak perkara dalam perancangan untuk diselesaikan.
“Pusat juga sudah meluluskan peruntukan untuk menyiapkan tebatan banjir di samping itu kita sudah dapat wang ihsan, alhamdulillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2024











