Keyakinan kemenangan Palestin kian hampir pasti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Israel akhirnya terpaksa mengumumkan pengunduran tentera Zionis dari Gaza yang seolah mengisyaratkan kemenangan HAMAS dalam mempertahankan bumi Palestin menerusi operasi ketenteraan ‘Taufan al-Aqsa’ sejak 7 Oktober lalu.

Kegagalan Zionis-Israel yang dikatakan mempunyai keupayaan ketenteraan termoden dan canggih itu jelas terpukul oleh keupayaan HAMAS dan jiwa besar rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza dalam menghadapi malapetaka kemanusiaan terdahsyat itu.

Pengasas Projek Kemanusiaan dan Kebudayaan Global Baitulmaqdis, Prof Dr Abdul Fattah El-Awaisi antara individu penting yang tidak henti-henti mengungkapkan keyakinannya kepada kemenangan dan kemerdekaan semula bumi Palestin.

Pada 17 Disember 1992 yakni 31 tahun dahulu, beliau telah didatangi wartawan British, Robert Fisk selepas diusir buang negeri ke Selatan Lubnan oleh rejim pemerintahan Perdana Menteri Zionis-Israel, Yitzhak Rabin ketika itu.

Ketika ditanya kepastian beliau mengenai kemenangan Palestin, Abdul Fattah menjawab keyakinannya terhadap perkara itu, lalu Robert menyatakan Israel mempunyai Amerika Syarikat membantu rejim itu, tetapi beliau menjawab Palestin ada Allah Maha Kuasa.

Jumaat lalu, dalam cuaca sejuk melampau, beliau menyertai sebilangan kakitangan perubatan yang majoritinya bukan-Muslim berkumpul sebagai solidariti kepada Palestin di jalan Edinburgh – Scotland di United Kingdom. 

Secara khusus, himpunan tersebut menujukan solidariti dan sokongan mereka kepada kakitangan perubatan di Semenanjung Gaza yang terdedah kepada pencerobohan kumpulan Zionis-Israel termasuk tindakan ketenteraan rejim tersebut. 

“Mereka bercakap tentang penderitaan kakitangan perubatan di Semenanjung Gaza, dan membaca nama para syuhada, termasuk doktor, jururawat, dan kakitangan perubatan yang lain di Semenanjung Gaza,” ujar Dr Abdul Fattah.

Walaupun tentera Zionis-Israel berundur selepas 86 hari Holocaust atau pembunuhan beramai-ramai yang juga pembersihan etnik berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza, namun Dr Abdul Fattah mengajak seluruh dunia untuk meneruskan solidariti.

“Jangan buang masa, usaha dan tenaga anda. Selepas semua jenayah perang yang diperhatikan sepanjang masa, sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang serius dan berfaedah untuk berdiri bersama penduduk Gaza,” serunya. – HARAKAHDAILY 2/1/2024 

- Advertisement -
- Advertisement -