2024 dijangka tahun yang sukar

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: “Sempena tahun baru 2024, saya ingin mengingatkan diri saya di samping mengajak anda semua untuk bermuhasabah diri, kenal pasti apa yang baik dan yang buruk ada pada diri kita,” kata Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

- Advertisement -

Setelah itu, ujarnya sama-samalah memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Sesungguhnya untuk berubah ke arah kebaikan, tidak perlulah untuk kita tunggu masuk tahun baru.

“Dari hari ke hari kita seharusnya menilai diri beramal dengan kebaikan dan menjauhi segala keburukan,” ujarnya dalam perutusan tahun 2024, di sini.

Beliau turut memetik pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Al-Hakim bermaksud: “Barangsiapa yang hari ini lebih baik daripada semalam, dia tergolong dalam kalangan orang yang beruntung. Barangsiapa yang hari ini sama dengan semalam, dia tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Barangsiapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, sesungguhnya dia adalah orang yang celaka”.

Menurutnya, tahun 2024 dijangka adalah tahun yang sukar untuk semua.

Tambahnya, Perang Rusia-Ukraine yang masih belum berakhir hampir pasti akan terus menghimpit warga dunia dengan tekanan ekonomi di mana harga barang akan terus melambung.

Katanya lagi, pembantaian rejim Zionis ke atas Palestin dijangka akan meningkatkan ketegangan di peringkat dunia, malah memungkinkan situasi yang lebih buruk.

“Ya, jangkitan Covid-19 yang muncul semula sudah tentu kembali meresahkan kita semua,” katanya. Justeru, ujarnya beringatlah dan jangan sampai kita terpaksa berkurung seperti ketika pandemik yang menyebabkan seluruh kehidupan lumpuh.

“Mengambil iktibar daripada pesan Nabi SAW, berazamlah untuk menjadi seorang yang lebih baik demi kesejahteraan kita di dunia dan akhirat.

“Hargailah nilai dan makna kita diberikan kehidupan oleh Allah SWT dengan martabat sebagai insan, bukannya seperti hidupan yang lain,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/1/2024

- Advertisement -