Bekas PM beri amaran kepada Melayu dan Bumiputera

Perpecahan akan sebabkan minoriti menguasai dan memerintah kaum majoriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adalah bahaya untuk negara jika kumpulan minoriti menguasai dan memerintah penduduk majoriti yang jumlahnya terlalu besar, demikian amaran bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. 

Menurut beliau, polemik bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri boleh menimbulkan ketidakpuasan hati golongan majoriti yang akhirnya akan menjadi bom jangka untuk perpecahan lebih besar dan ketegangan kaum.

“Sebagai contoh, di Fiji, apabila presiden dari parti yang memenangi pilihan raya dilantik dalam kalangan bukan daripada bangsa Fiji, maka berlaku ketegangan dan rampasan kuasa. Jadi, perkara sama mungkin boleh berlaku di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, perkara tersebut seolah-olah sengaja dicetuskan ahli politik veteran yang sejak sekian lama menuntut kesamarataan melalui konsep ‘Malaysian Malaysia’ bagi menimbulkan perdebatan massa.

Tegas beliau, walaupun tuntutan bukan-Melayu sebagai Perdana Menteri tidak bertentangan dengan Perlembagaan, namun perbincangan mengenai hal itu tidak pernah berlaku secara terbuka sebelum ini. 

“Pelantikan Perdana Menteri ini adalah kesepakatan dan amalan yang diterima oleh semua, sejak Perdana Menteri pertama sehingga sekarang adalah kaum Melayu dan beragama Islam.

“Dalam undang-undang, amalan merupakan rujukan dan duluan (precedent) jika tiada dalam undang-undang bertulis. Lebih-lebih lagi Melayu dan bumiputera adalah majoriti yang mewakili 70 peratus daripada 32 juta penduduk Malaysia. 

“Terbaru, DAP semakin biadap mencampuri urusan agama Islam dan Majlis Raja-Raja Melayu apabila seorang pemimpinnya menuntut wakil bukan-Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah.

“Kegilaan apakah ini? Bukan-Islam dilantik untuk mengkaji kuasa Mahkamah Syariah yang tiada kaitan dengan mereka sama sekali. Sebelum ini tiada siapa pun berani membangkitkan hal-hal tersebut secara terbuka,” ujarnya.

Jelas beliau, dahulu tidak terjadi sedemikian kerana orang Melayu kuat serta bersatu di bawah satu suara, namun kini berpecah teruk kerana tiada kesepakatan, perselisihan dan berbeza ideologi.

Masyarakat pribumi Melayu dan Bumiputera membentuk 70 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia tetapi berisiko menerima nasib seperti Arab di Timur Tengah jika terus berpecah.

Terang Ahli Parlimen Bera itu, terdapat 23 negara Arab dengan lebih 400 juta penduduk yang mengelilingi Israel tetapi tidak dapat menghadapi negara kecil tersebut dengan hanya mempunyai tidak sampai 10 juta orang.

Bentangnya, jika dihitung jumlah kerusi Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera di dalam Dewan Rakyat adalah melebihi majoriti dua pertiga dengan di sebelah kerajaan ada 93 kerusi, manakala pembangkang ada 73 kerusi. 

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, komposisi dalam Dewan Rakyat itu sahaja tidak memberikan sebarang makna kerana orang Melayu dan Bumiputera tidak sepakat kerana berpecah kepada terlalu banyak parti dan ideologi. 

Tegas beliau lagi, atas faktor perpecahan kaum majoriti itulah ada pihak mengambil kesempatan menuntut perkara tidak sepatutnya dan telah diterima sebagai sebahagian daripada amalan di negara ini.

“Seperti pepatah lama, bila kayu itu tumbang, kura-kura pun berani memanjat. Walaupun tidak tercatat dalam Perlembagaan, kuasa politik Melayu adalah sebahagian daripada kontrak sosial. 

“(Tetapi) Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 pada 16 Oktober 2008 menegaskan kontrak sosial tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia merupakan asas utama pembentukan negara.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini juga menegaskan prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasi di negara ini wajib berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial Malaysia.

“Perpecahan Melayu menyebabkan tiada satu pun parti orang Melayu mampu menubuhkan atau menjadi tonggak Kerajaan Persekutuan,” ujarnya memberi peringatan dalam tulisan disiarkan Utusan Malaysia.

Tambah beliau, keadaan tersebut adalah kesan domino apabila masyarakat pribumi semakin hilang kepercayaan kepada parti tempat mereka bergantung harap selama ini, iaitulah Umno. 

“Buktinya, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hanya 28 peratus pengundi Melayu memberikan sokongan kepada Umno. Umno harus bangkit kembali dan mencari jalan menyatukan orang Melayu yang berpecah-pecah.

“(Ini) demi memastikan kuasa politik Melayu tidak hilang atau diganggu-gugat,” ujar beliau menyeru pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja berbincang untuk mencari titik persamaan supaya perpecahan dapat bertaut kembali. 

Peringat Ismail Sabri, kuasa politik tidak akan kembali sekiranya orang Melayu terus berpecah dan turut berpesan agar jangan menyesal jika segala yang ada hari ini dan diwarisi oleh leluhur dahulu lenyap begitu sahaja.

Paling dekat ajaknya, orang Melayu wajib bersatu bagi memastikan persempadanan semula kawasan pilihan raya menjelang PRU16 tidak akan menghilangkan terus kuasa politik Melayu di negara ini. 

“Jika orang Melayu tidak segera bersatu, suatu ketika nanti kita menjadi seperti orang Arab yang hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih kerana tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tiada kuasa.

“Semoga 2024 menjadi permulaan untuk penyatuan kembali umat Melayu dan Bumiputera demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya merakam ucapan Selamat Tahun Baharu 2024 yang akan bermula Isnin ini. – HARAKAHDAILY 30/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -