Jumlah mangsa banjir terus meningkat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang melanda Pantai Timur dan Selangor semakin meningkat pagi ini dengan jumlah mangsa seramai 21,887 daripada 6,378 keluarga.

- Advertisement -

Menurut portal Info Bencana JKM sehingga jam 8.30 pagi ini sebanyak 230 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 13,199 orang daripada 4,058 keluarga yang ditempatkan di 86 PPS.

Paling ramai mangsa banjir di Rantau Panjang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 seramai 1,133 orang, SK Gual To’ Deh (1071 orang), SK Tual Tinggi (1054 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Baruh Pial (633 orang).

Di Kuala Krai seramai 790 mangsa dipindah ke SK Bedal, SK Banggol Guchil (166 orang), SK Manek Urai Lama (53) dan Madrasah Kampung Mesek Manek Urai (20 orang).

Banjir juga melanda jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang, Pasir Puteh dan Machang. Cuaca di bahagian utara Kelantan masih mendung, manakala hujan sekali sekala lebat di kawasan hulu.

Di Terengganu paling ramai mangsa banjir dipindahkan di Dewan Felda Kerteh 4 (260 orang), di PPS Balai Raya Kampung Pengkalan Ajal Ajil (193 orang), Dewan Serbaguna Padang Pulut (188 orang) dan Balairaya Kampung Peneh (179 orang).

Banjir melanda beberapa daerah di negeri tersebut termasuk Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Besut.

Di Pahang pula seramai 700 penduduk daripada 171 keluarga dipindahkan ke 15 PPS di mana paling ramai mangsa banjir di Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis seramai 146 orang.

Banjir melanda daerah Raub dan Lipis di Pahang. Di Selangor hanya sebuah PPS dibuka di Dewan Dato Hormat Kampung Seri Cheeding Kuala Langat seramai empat mangsa. – HARAKAHDAILY 26/12/2023

- Advertisement -