Masalah pesawah dapat perhatian Dr Fakhruddin

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pertanian digesa agar lebih peka kepada masalah para petani khususnya pesawah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, antara perkara yang ditimbulkan pesawah berkaitan penanaman padi, saliran dan lain-lain hal berkaitan.

“Saya mendapat maklumat terus dari para pesawah tentang permasalahan yang berlaku sekitar hal penanaman padi, saliran dan hal-hal lain berkaitan,” kata beliau ketika dihubungi, di sini.

Terdahulu, satu perjumpaan Santai Bersama Pak Tani di Laman Masjid Kampung Hutan, Mukim Padang Hang anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dengan kerjasama Parlimen Kuala Kedah.

Pada perjumpaan itu jelas beliau, para petani turut menimbul persoalan berkaitan benih padi sah (bps), kemudahan bantuan vetarinar, peluang usahawan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta saliran tali air sawah padi.

Kata Ahmad lagi, para petani juga menyentuh berkenaan Projek Rancangan Tebatan Banjir di DUN Anak Bukit.

“Dengan maklumat berkenaan, memudahkan saya membangkitkan dalam sesi perbahasan nanti atau sesi soal lisan di parlimen nanti,” tambah beliau.

Sesi Santai Bersama itu turut dihadiri Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Abd Ghani bersama agensi kerajaan berkaitan.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Rashidi Razak turut merangka perjumpaan bersama nelayan darat Kuala Kedah, pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 25/12/2023

- Advertisement -