PM puji Kelantan beri kerjasama projek ECRL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi kerjasama penuh pelaksanaan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membolehkan ia berjalan lancar.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu turut diakui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri turut memuji kerajaan Kelantan berkaitan pembinaan projek ECRL di atas kerjasama yang diberi.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama bagi memastikan projek ECRL berjalan lancar. Malah kita bersyukur kerana tiada isu-isu yang berbangkit.

“Kerajaan Kelantan mahu projek tersebut berjalan lancar dan siap mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim petang semalam.

Perdana Menteri (PM) sebelum ini mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan-kerajaan negeri yang terbabit projek ECRL bekerjasama bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual.

Malah proses kelulusan di Kelantan antara yang cepat diselesaikan dalam kalangan negeri-negeri yang terlibat dengan projek ECRL.

Timbalan Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri masih menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa perkara demi kepentingan rakyat.

Katanya surat mengenainya sudah dihantar Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, namun tarikh pertemuan belum dimaklumkan pejabat Perdana Menteri.

“Setakat ini Perdana Menteri sudah bersetuju dan kita masih menunggu tarikh yang akan diberikan nanti. Kita berharap pertemuan itu dapat diadakan pada masa terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -