Kerajaan Madani akhirnya contohi kabinet era PN

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Madani terpaksa berundur semula dengan mencontohi kabinet era PERIKATAN NASIONAL (PN) apabila memisah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ketika pentadbiran dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kementerian terbabit diasingkan.

“Sebagai contoh Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang memisahkan mineral dan sumber asli.

“Namun ketika itu ada pihak yang mengkritik namun akhirnya sekarang ia diasingkan kembali.

“Tanggungjawab untuk menjaga air, sumber asli dan alam sekitar ni besar, jadi betul lah apa yang dilakukan kerajaan di bawah dua Perdana Menteri sebelum ini,” katanya di Kota Darulnaim petang semalam.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet dengan memisahkan NRECC kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

NRECC di bawah Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusuf menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Dr Mohamed Fadzli berkata, pengasingan itu wajar dilaksanakan kerana ia membabitkan tanggungjawab besar.

Menurutnya juga sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kebinet era PN besar, namun kerajaan Madani juga menambah jumlah anggota kabinet daripada 28 kepada 31 orang.

“Bagi saya, biarlah besar asalkan ia memberi kebaikan untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau turut berharap kabinet baharu akan berada pada landasan yang betul untuk memulihkan semula kestabilan kerajaan dan ekonomi negara.

“Berpolitik letak ke belakang dahulu kerana kita baru sahaja habis Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman,” ujarnya.

Beliau turut memuji langkah Perdana Menteri mengembalikan beberapa pemimpin berpengalaman termasuk Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Dr Noraini Ahmad ke kabinet.

Selain itu beberapa tokoh korporat termasuk Datuk Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.

“Saya melihat Perdana Menteri masih berdepan situasi agak sukar kerana jawatan Menteri Kewangan I masih dipegang beliau sendiri.

“Mungkin beliau berpendapat boleh membahagikan tugas tetapi bagi saya, akan timbul rasa tidak selesa nanti.

“Ada baiknya kalau beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan atau memberikan kuasa kepada Amir Hamzah melaksanakan tugas tanpa sebarang sekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -