Kenyataan Kit Siang biadap, Melayu Islam perlu sedar

Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz
- Advertisement -

GAMIS mengecam satu kenyataan biadap pimpinan veteran DAP, Lim Kit Siang pada 29 November lalu yang menyebut ‘Tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri,’ selain berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang menjadi Perdana Menteri.

- Advertisement -

Biarpun tiada sekatan khusus yang menyatakan seorang Perdana Menteri perlu dari kalangan orang Melayu, dan Perkara 43(2) hanya menyatakan YDPA boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut, GAMIS menyelar kenyataan LKS dengan membawakan empat hujah berdasarkan perlembagaan, adat politik dan logik:

Pertama, apabila perlembagaan sendiri mengangkat agama Islam sebagai agama Persekutuan, sewajarnya perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan juga beragama Islam.

Kedua, terdapat perlembagaan negeri yang meletakkan Melayu Islam sebagai syarat untuk Menteri Besar, contohnya:

a. Perkara 51 (2), Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
b. Perkara 37 (2), Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis 1959.
c. Perkara 35(2), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah 1959.
d. Fasal 2 dan fasal 24, Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk (Perlembagaan Negeri Terengganu)

Maka, amalan melantik perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu di kala sebahagian negeri-negeri mensyaratkan orang Melayu dan beragama Islam untuk Menteri Besar, adalah jelas bertentangan dengan semangat federalisme yang patut diamalkan di Malaysia.

Ketiga, menurut pakar undang-undang Malaysia Prof. Datuk Shad Saleem Faruqi, ia merupakan konvensyen (amalan politik kebiasaan) bahawa Perdana Menteri Malaysia yang dilantik haruslah lelaki, Melayu, dan beragama Islam. Biarpun pelanggaran terhadap konvensyen tidak akan menjadikan seseorang itu dihadapkan ke mahkamah, namun konvensyen mempunyai nilai yang penting dalam menafsirkan perlembagaan. Malah, peguam British Sir Ivor Jennings juga mengibaratkan konvensyen itu umpama “The flesh that clothes the dry bones of the law” .

Keempat, pakar Sejarah Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim sendiri berkata bahawa Perdana Menteri haruslah orang Melayu kerana kaum Majoriti negara ini ialah orang Melayu (57.7%) diikuti oleh bangsa Cina (22.8%), India (6.6%) dan kaum lain-lain (12.9%). Oleh itu, pelantikan pemimpin negara mestilah dilantik dalam kalangan kaum yang paling dominan atau berpengaruh.

Kesimpulannya, GAMIS berpandangan kenyataan LKS ini merupakan satu tindakan yang melulu tanpa meneliti fakta-fakta yang telah disenaraikan di atas serta biadab kerana telah mencabar kewibawaan orang-orang Melayu. Lupakah beliau, Malaysia telah hidup aman sejak berpuluh tahun di bawah pemerintahan orang Melayu Islam? Bahkan, bangsa bukan Melayu dan bukan Islam juga tidak perlu risau kerana sejarah telah membuktikan bahawa Islam menjamin keadilan dalam pemerintahan tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

GAMIS menggesa khususnya kepada masyarakat Melayu dan Islam agar peka dan sedar dengan agenda bertubi-tubi yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk mengganggu gugat keharmonian kaum dan agama. GAMIS juga menyeru masyarakat seluruh Malaysia untuk bangkit dan terus bersatu padu dalam mempertahankan tanah air yang tercinta.

“Mengungguli Gerakan Mahasiswa”

WAN MUHAMMAD ARIF WAN BAZLI FARIZ
Presiden GAMIS Sesi 2023
Bertarikh: 11 Disember 2023 | 28 Jamadilawal 1445 – HARAKAHDAILY 11/12/2023

Sumber Rujukan:

Astroawani.com. (n.d.).

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/melihat-institusi-perdana-menteri-dan-perlemb agaan-persekutuan-307699

KENYATAAN MEDIA. (n.d.).

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_S tatement/2022/07.%20JULAI/ANGGARAN%20PENDUDUK%20SEMASA%20MALAYSIA% 2C%202022.pdf

Konvensyen Perlembagaan – Perlukah Perdana Menteri Itu Melayu dan Muslim? – The Patriots. (2020, July 13).

https://www.google.com/amp/s/thepatriots.asia/konvensyen-perlembagaan-perlukah-perda na-menteri-itu-melayu-dan-muslim/

Penduduk Malaysia kini 33.4 juta, meningkat 2.1% pada suku kedua 2023 – DOSM. (2023, August 9). DagangNews.

https://www.dagangnews.com/article/dosm-penduduk-malaysia-cecah-334-juta-meningkat- 21-pada-suku-kedua-2023-29134

Siapakah Yang layak Menjadi Perdana menteri?. Malaysia Bersuara. (n.d.). https://malaysiabersuara.com/artikel/siapakah-yang-layak-menjadi-perdana-menteri/

- Advertisement -