
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menjelaskan mengenai tindakan bagi menangani masalah sindiket dalam talian yang menjalankan jenayah penipuan berkaitan tawaran pekerjaan di luar negara kepada golongan belia di negara ini.
Senator Datuk Teo Eng Tee berkata, kerajaan perlu menyatakan langkah penyelesaian bagi panduan golongan itu agar tidak tertipu kerana kegiatan membabitkan jenayah rentas sempadan di negara yang mengalami konflik politik seperti di Myanmar amat sukar untuk diselesaikan.
“Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah tindakan komprehensif yang telah diambil oleh kerajaan dan kementerian dalam usaha menangani masalah kes penipuan dalam talian yang membabitkan rakyat tempatan yang menjadi mangsa sindiket ini.
“Sindiket ini juga mengandungi unsur-unsur penyeludupan dan pemerdagangan manusia untuk bekerja sebagai buruh paksa di luar negara seperti Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha untuk menangani sindiket terbabit, termasuk melalui libat urus bersama negara berkenaan.
Beliau berkata, usaha itu membabitkan perkongsian maklumat dan menjalankan misi menyelamatkan mangsa penipuan, selain mengenal pasti individu dan syarikat yang menjadi dalang di negara ini, terutama agensi pekerjaan.
Bagi menangani masalah itu, katanya PDRM menjalankan beberapa siri operasi bersepadu bermula Ogos tahun lalu hingga Julai tahun ini bagi membanteras dan mencegah sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan dengan pendapatan lumayan di luar negara.
“Kita juga menjalankan siasatan komprehensif bagi menghasilkan pendakwaan, meningkatkan kesedaran awam dan tahap kefahaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar serta penyelarasan peringkat kementerian berkaitan isu ini.
“Sebanyak empat siri operasi telah dijalankan dengan kejayaan menumpaskan empat sindiket di Lembah Klang dan Johor membabitkan tangkapan seramai 12 warga tempatan, manakala siasatan dilakukan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023











