
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan program yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran kewajipan pelaksanaan fardhu ain kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selain itu, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah kejayaan program serta adakah wujud halangan dalam melaksanakan program ini.
“Hampir keseluruhan soalan tambahan saya pun telah dijawab, cuma saya ada soalan tambahan lain. Seperti yang dimaklumkan tadi, latihan-latihan atau kelas-kelas agama dijalankan juga di sekolah-sekolah murid berkeperluan khas.
“Cuma saya nak tanya adakah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperluaskan pendidikan kelas agama fardhu ain kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau bekerjasama dengan masjid-masjid untuk mengadakan kelas khas kepada warga OKU yang berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kementeriannya mengambil kira komitmen yang diberikan oleh JAKIM dan juga mengambil kira usaha-usaha untuk memastikan golongan OKU mendapatkan hak yang sama dalam konteks pengajian asas agama.
“Sudah tentu kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Yang Berhormat Senator sebut tadi…maknanya kita tekankan di sini bahawa dalam konteks untuk memberikan memperkasakan golongan OKU dalam konteks ilmu-ilmu asas agama ini kita meletakkan tanggungjawab ini kepada semua pihak
“Insya-Allah dengan kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi yang seperti yang disebut.. kita akan perluaskan kerjasama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023











