
MALAYSIA adalah salah sebuah negara yang kaya dengan warisan dan khazanah peninggalan dari nenek moyang kita. Walaupun ada sesetengah khazanah warisan yang masih lagi gagah kukuh dipertahankan, namun ada juga warisan yang semakin dilupakan seperti tulisan Jawi dan manuskrip Melayu. Dua warisan ini sangat diagungkan pada suatu masa dahulu kerana menjadi medium utama sebagai saluran komunikasi. Akibat dari penjajahan Barat dan sistem yang telah ditukar, kedua-dua warisan telah diketepikan sehingga hampir pupus di mata masyarakat. Perkara ini memberi kesan yang mendalam apabila generasi pada hari ini dan akan datang tidak lagi dapat mengenali dan mempelajari tulisan Jawi serta manuskrip Melayu yang seharusnya perlu dijaga rapi selamanya.
Manuskrip sering berkait dengan tulisan Jawi kerana kewujudan keduanya adalah berumur ratusan tahun. Tulisan Jawi adalah olahan dari Bahasa Arab yang disesuaikan kepada Bahasa Melayu. Beberapa perubahan telah dilakukan bagi menyesuaikan perkataan Bahasa Arab kepada perkataan dan sebutan dalam Bahasa Melayu. Menurut Perpustakaan Negara Malaysia, manuskrip Melayu telah dikenalpasti mempunyai anggaran 20,000 buah di 57 negara dan di 151 institusi. Secara hakikatnya, manuskrip Melayu kini tersimpan di perpustakaan seluruh negara seperti di British, Singapura, Belanda, Rusia, dan Jerman kerana nilainya yang tinggi. Kerajaan perlu memperluaskan usaha bagi ‘mengembalikan semula’ semua manuskrip Melayu kerana kesemua manuskrip Melayu tersebut adalah hak dan khazanah kita.
Penyelidikan manuskrip Melayu adalah penting untuk memahami jati diri dan falsafah bangsa Melayu. Manuskrip Melayu amat bermanfaat bagi masyarakat Malaysia yang dapat menelaah semula sejarah negara dari segi politik, ekonomi dan sosial bagi rujukan para pemimpin dan sejarawan. Segala aktiviti formal dan tidak formal yang dijalankan telah dicatat dan direkodkan. Hantaran surat dan dokumen bagi hubungan diplomatik antara negara juga ditulis pada manuskrip bertulisan Jawi. Dari sini kita dapat lihat bahawa manuskrip penting untuk dipelihara supaya dapat mengelakkan sebarang rekaan cerita dari sumber yang tidak dikenal pasti kesahihannya.
Menurut artikel yang disiarkan di Berita Harian pada tahun 2015, sebanyak 4,600 manuskrip bertulisan Jawi dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) masih belum dikaji sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa penguasaan tulisan Jawi semakin lama semakin dilupakan. Tiada lagi minat dalam diri masyarakat Malaysia adalah menjadi faktor tulisan Jawi tidak dapat dikekalkan. Tulisan Jawi sering berkait dengan unsur agama Islam oleh kerana bentuk dan huruf tulisan yang sama dengan tulisan Arab. Secara realitinya, kaitan antara dua tulisan ini mampu meningkatkan tahap intelektual seseorang. Banyak artikel yang telah membuktikan bahawa tahap penguasaan tulisan Jawi dipengaruhi oleh kemahiran membaca al-Quran. Al-Quran yang dibaca berdasarkan baris adalah dilihat lebih mudah dibaca berbanding tulisan Jawi. Terdapat perbezaan antara Jawi Lama dengan Jawi Moden. Bagi sesiapa yang tidak dapat menguasai dan memahiri tulisan Jawi dengan baik, sukar baginya untuk membaca Jawi kerana satu patah perkataan boleh membawa kepada sebutan yang berbagai. Oleh itu, Jawi Moden yang telah diubah suai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memudahkan masyarakat Malaysia membaca dengan lebih lancar.
Tulisan Jawi bukan hanya untuk Muslim sahaja, tetapi boleh juga digunakan untuk semua lapisan bangsa dan agama. Pemikiran masyarakat umum mengatakan bahawa tulisan Jawi hanya bersesuaian dengan orang Islam perlu diperbetulkan semula. Mereka akan mendapat kelebihan memahami tulisan yang menyerupai tulisan Jawi di negara lain seperti Lubnan dan Mesir. Bukan semua manuskrip Melayu bertulisan Jawi menceritakan mengenai hukum-hakam Islam, namun ada juga mengenai isu umum.
Manuskrip Melayu amat dipandang tinggi oleh sarjana luar negara kerana isi kandungannya yang meliputi semua bidang penulisan termasuklah bidang kebudayaan, pentadbiran, perubatan, undang-undang, kesusasteraan, ilmu agama Islam seperti tajwid, tauhid, fiqh dan akhlak. Antara sarjana terkenal ialah Professor Dr. Kang Kyung Seok yang pakar dalam tulisan Jawi. Beliau mengungkapkan kegusarannya terhadap tulisan Jawi yang tiada pelapis bagi mengekalkan keunikan tulisan ini. Beliau sangat mendalami dan menyukai tulisan Jawi hingga sanggup ke luar negara untuk mendapatkan bahan-bahan untuk kajiannya. Pelbagai usaha telah beliau lakukan bagi mengembangkan tulisan Jawi di tanah airnya, Korea Selatan. Tidak pelikkah jika Professor Dr. Kang Kyung Seok yang bukan masyarakat Malaysia amat menghargai tulisan Jawi tetapi masyarakat Malaysia sendiri hanya memandang remeh dan memperlekehkan tulisan Jawi?
Seorang Sarjana Barat yang dikenali, Datuk Dr Annabel Teh Gallop juga menghabiskan masanya berpuluh tahun dalam meluaskan dan menyebarkan manuskrip Melayu. Kajian beliau yang terkini adalah memfokuskan mengenai seni Quran yang ada di Asia Tenggara. Nama dan wajahnya sering terpampang seiring dengan perkataan manuskrip Melayu. Kesungguhan dan minat beliau dalam mengkaji manuskrip Melayu menjadi sumbangan dunia untuk ‘membongkar’ keunikan manuskrip yang seharusnya menjadi usaha setiap masyarakat Malaysia bagi mengekalkan jati diri dan identiti negara. Dua tokoh sarjana ini sudah sinonim dengan figura manuskrip Melayu dan tulisan Jawi menyebabkan mereka disanjung tinggi atas pencapaian mereka walaupun kedua-dua warisan bukanlah dari asal usul tanah air mereka.
Artikel lain di Berita Harian pada tahun 2023 pula mengatakan bahawa pengurangan ahli filologi menyukarkan usaha untuk meneruskan kajian terhadap manuskrip. Beberapa tinjauan telah dilakukan dan jawapan yang diberikan oleh pelajar adalah bidang pekerjaan ahli filologi dilihat tiada nilai ekonomi. Remaja sekarang mementingkan aspek kestabilan bagi meneruskan sesuatu pekerjaan. Oleh disebabkan kurangnya orang yang mahir dalam tulisan Jawi, secara tidak langsung minat terhadap bidang filologi juga berkurangan. Bidang pekerjaan ini juga tidak diuar-uarkan kepada kanak-kanak 18 tahun ke bawah. Jika ibu bapa atau guru-guru dapat mendedahkan bidang ini kepada mereka dengan lebih awal, berkemungkinan besar mereka akan tertarik dan ingin mendalami bidang sebagai ahli filologi.
Rumusannya, pelbagai inisiatif perlu dicadangkan dan dilaksanakan bagi mengelakkan tulisan Jawi pupus di mata dunia begitu sahaja. Kepentingan manuskrip Melayu dan tulisan Jawi sewajarnya diletakkan pada tahap tertinggi. Manuskrip Melayu yang berada di luar negara perlu dikembalikan secepat mungkin untuk tujuan kajian dan simpanan agar jati diri Malaysia dipandang tinggi oleh satu dunia. Pusat arkib yang sudah sedia ada juga perlu dikawal ketat supaya tiada permasalahan berlaku. Kebanggaan tulisan Jawi dan manuskrip Melayu perlu disemat di dalam setiap masyarakat Malaysia yang berbagai budaya dan bangsa agar generasi akan datang dapat mempertahankan khazanah warisan yang berharga ini.
FAKHIRA AQILAH KHAIRUL SHAMSUL
Universiti Sains Islam Malaysia – HARAKAHDAILY 7/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











