
KUALA LUMPUR: Kekurangan pekerja di pelbagai industri menyebabkan Senator Datuk Teo Eng Tee meminta penjelasan kerajaan berhubung dasar pengambilan pekerja asing.
“Adakah kerajaan akan mempertimbangkan semula kelulusan kemasukan pekerja asing yang telah disekat bagi sektor industri yang lain dalam negara ini,” katanya.
Beliau yang mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini, berkata masalah kekurangan pekerja adalah isu yang sangat serius.
Katanya, ini memerlukan campur tangan pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan ketika ini membekukan sementara pengambilan pekerja asing kerana jumlah pekerja asing di negara ini kini mencecah 2.7 juta orang.
“Ini lebih banyak daripada sepatutnya kerana dalam dasar kerajaan seharusnya perlu ada 15 peratus sahaja bersamaan 2.4 juta pekerja asing dalam negara ini,” katanya.
Namun begitu, katanya kerajaan boleh mempertimbangkan perkara tersebut jika ada keperluan untuk menggunakan pekerja asing, tetapi dengan syarat mesti melalui persatuan atau mana-mana badan kumpulan majikan. – HARAKAHDAILY 6/12/2023











