
KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff meminta Dewan Negara mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel, selain diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Beliau juga berharap Perdana Menteri mendesak Israel menghentikan serangan dan mengisytiharkan kemenangan rakyat Palestin serta membayar setiap kerosakan harta benda dan kerugian yang ditanggung oleh rakyat Palestin.
“Di saat kita berbicara di dalam dewan yang serba indah ini bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengecam Israel, lebih 16,000 rakyat Palestin yang syahid, lebih 45,000 cedera dan bumi Gaza ranap, musnah dan bermandikan darah.
“Bangunan, kediaman dan rumah ibadat hancur menjadi debu dihentam oleh rejim haram Zionis Israel. Lebih menyayat hati apabila hospital juga dibom tanpa belas kasihan.
“Lebih memilukan dan menyedihkan apabila kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi sasaran bedilan bom Israel dengan kejam dan melampau,” katanya ketika membahaskan usul tergempar isu Palestin di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, Zionis Israel tidak pernah peduli apa jenis agama sekali pun dan ini adalah bukti jelas bahawa Israel sedang melakukan jenayah kemanusiaan secara besar-besaran.
Oleh demikian, katanya, serangan kejam Israel jelas merupakan satu jenayah perang yang bertentangan dengan Undang-Undang Antarabangsa yang sewajarnya dikecam oleh dunia.
“Israel telah melanggar 28 Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pelbagai undang-undang antarabangsa secara konsisten.
“Israel telah membuat penempatan haram dan terlibat dalam jenayah perang penghapusan etnik dan melanggar Konvensyen Geneva Keempat (1949).
“Malah, Israel mengamalkan dasar keadaan pemisahan yang menyalahi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penindasan dan Hukuman Jenayah Aparteid (1976),” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, satu kajian yang dijalankan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan organisasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa mendapati bahawa Israel telah mencabul hak asasi manusia secara konsisten.
“Ini termasuk penyeksaan, penangkapan tanpa bicara, rampasan tanah, penempatan haram dan sebagainya. Bahkan pada 2004, ICJ telah memutuskan bahawa tembok pemisah Israel adalah haram,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023











