
SAYA amat kesal dengan kenyataan provokasi yang ditunjukkan oleh YB Exco Pelancongan Negeri Perak seperti dalam ucapan beliau ketika sesi penggulungan iaitu: ‘tidak ada keperluan kepada pemikiran sempit atau memainkan politik untuk memberi konotasi negatif dalam penganjuran konsert kebudayaan’, jadi saya berdiri menuntut penjelasan berkaitan dengan dakwaan beliau dalam penganjuran konsert seperti itu di Negeri Perak.
Saya juga berdiri untuk bertanyakan mengenai dengan apakah impak sosial di atas penganjuran konsert tersebut selain menyumbang kepada sektor ekonomi di Negeri Perak? Apakah Perak akan mempopularkan produk seperti konsert untuk menarik pelancong ke Perak? Apakah usaha mengimbangkan di antara keruntuhan moral remaja dgn penganjuran hiburan yang melampau?
Saya dengan ini menegaskan bahawa Islam tidak menghalang dan menolak hiburan secara total namun mestilah mengikut kepada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berwajib. Garis panduan tersebut telah dikeluarkan oleh JAIPk pada tahun 2008 yang boleh dijadikan sebagai syarat yang perlu dipatuhi oleh semua pihak dalam sebarang penganjuran konsert atau aktiviti hiburan di Negeri Perak.
Prinsip kami jelas untuk pihak kerajaan mematuhi garis panduan yang dinyatakan, oleh itu saya menuntut kepada pihak kerajaan benar-benar memahami isu ini dan diurus sebaik mungkin.
Penganjuran konsert sepanjang tahun ini dan sebahagianya telah tular di media sosial telah mencetuskan polemik sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat awam.
Masyarakat khususnya anak muda mestilah dididik dengan konsep atau cara hiburan yang betul, bukan hanya mementingkan keuntungan daripada sudut ekonomi semata tetapi pembangunan insan yang perlu menjadi keutamaan.
Pihak kerajaan juga mestilah memastikan pematuhan garis panduan dalam semua penganjuran konsert dan aktiviti hiburan di Negeri Perak yang tercinta ini supaya semua pihak dapat hidup secara harmoni dengan memastikan sensitiviti kaum dan agama dijaga dengan sebaik mungkin.
Sekian.
YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak / ADN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 6/12/2023











