Mengapa dikurangkan peruntukan tabung usahawan?

Kamarol Ridzuan Mohd Zain
- Advertisement -

SEREMBAN: Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Sembilan mengurangkan peruntukan untuk inisiatf Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dalam Belanjawan 2024.

- Advertisement -

“Saya tertanya-tanya mengapa peruntukan untukTUNS dan TUNS Plus yang masing-masing diperuntukkan RM3 juta dalam Belanjawan 2023 diturunkan kepada masing-masing RM1 juta sahaja dalam Belanjawan 2024?

“Begitu juga TUNS Extra yang mempunyai tujuan yang khusus ditiadakan dalam Belanjawan 2024 tanpa inisiatf lain yang setara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

“Saya tidak pasti pertimbangan yang diberikan oleh YAB MB dan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dalam perkara ini. Cuma saya rasa perjalanan usaha ini masih jauh dan tidak wajar diperlahankan atau dikecilkan saiznya,” ujarnya lagi.

Tambah Kamarol sekiranya inisiatif tersebut tidak mendapat sambutan, ia bukanlah bermakna ia tidak diperlukan, namun beberapa tindakan intervensi perlu dilakukan seperti meningkatkan aktiviti penerangan, mengurangkan karenah birokrasi atau meningkatkan usaha memberi kesedaran.

“Saya sendiri pernah didatangi rakyat di Pusat Khidmat DUN memohon bantuan memulakan dan meluaskan perniagaan. Mereka tahu mereka susah, dan mereka mahu menggunakan kudrat tulang empat kerat untuk terus berusaha.

“Cuma tinggal tangan jentera kerajaan membahu mereka dan limpahan belajawan ini sampai ke tangan mereka,” ujarnya.

Dalam perkara yang sama, beliau turut mengalu-alukan inistaif TUNS Perints sebanyak RM500,000 untuk mewujudkan budaya dan semangat usahawan di kalangan pelajar sekolah.

“Mereka inilah penerus legasi kita di masa akan datang. Di tangan merekalah negara kita akan berubah dari negara membangun kepada negara maju.

“Begitu juga program NS Choice yang bakal dimulakan pada tahun 2024 dengan peruntukan permulaan RM1 juta dan penerusan Halal Kotej sebanyak RM500,000,” kata beliau.

Belanjawan 2024 negeri telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Jumaat lepas dengan anggaran belanja mengurus sebanyak RM555 juta berbanding anggaran hasil sebanyak RM520 juta. – HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -