5 varieti padi popular dibangun dan sedia ditanam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menjalankan kajian dan penyelidikan pembangunan jenis padi yang tahan kemarau serta baka akuakultur yang mempunyai daya tahan menghadapi perubahan iklim.

- Advertisement -

Kata KPKM, terdapat lima varieti padi popular yang telah dibangunkan dan sedia ditanam iaitu MR297, MR315, MR307, MR284 dan MRQ76.

Menurutnya, kesemua varieti padi jenis itu adalah toleran kepada keadaan kemarau sederhana yang kurang daripada 30 hari.

“Berdasarkan data kajian simulasi, varieti ini mampu memberikan hasil sekitar 5.5 tan metrik per hektar. Manakala, kajian di lapangan pula, merekodkan julat pengeluaran hasil adalah 3.46 tan metrik per hektar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara, hari ini.

Hussin dalam soalannya meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan status pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Kementerian berkenaan jenis padi yang tahan kemarau serta kajian pembangunan baka akuakultur yang mempunyai daya tahan menghadapi perubahan iklim.

Menurut KPKM, bagi pembangunan baka akuakultur yang mempunyai daya tahan terhadap iklim dilaksanakan melalui dua program, iaitu Program Nucleus Breeding Centre (NBC) dan Broodstock Mulitiplier Centre (BMC) telah dilaksanakan bagi menghasilkan benih dan induk yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Katanya, sehingga September 2023, sebanyak 490 buah hatcheri/nurseri benih ikan swasta diwujudkan dengan kapasiti penghasilan benih ikan melebihi 5 bilion ekor benih ikan dihasilkan setiap tahun.

Jelas KPKM, aktiviti penyelidikan dan pembangunan itu juga dilaksanakan terhadap kebolehdayaan benih ikan patin.

Katanya, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glemi Lemi, Negeri Sembilan serta beberapa syarikat swasta termasuk institusi pengajian tinggi awam turut terlibat dalam kajian tersebut.

“Hasil kajian mendapati pengurusan induk dan kaedah pembenihan yang betul dapat membantu meningkatkan peratus kadar penetasan daripada 40 peratus kepada 60 peratus serta kadar hidup daripada 50 peratus kepada 70 peratus ,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -