
RANTAU PANJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rantau Panjang membuat tinjauan serta turut menasihati penduduk di kawasan dilanda banjir supaya menjaga keselamatan selain mengelak risiko lemas atau penyakit bawaan air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, ibu bapa dan masyarakat setempat juga diminta memainkan peranan untuk memastikan keselamatan anak masing-masing terus terjaga.
Beliau berkata, menerusi tinjauan yang dilakukan, pihaknya memantau dan memberi nasihat kepada penduduk yang ada termasuk sesetengah kanak-kanak yang sedang bermain air di beberapa lokasi banjir.
“Semasa pemantauan, kami mendapatkan ibu bapa dan meminta mereka mengawasi pergerakan anak-anak semasa banjir terutama ketika berhadapan dengan arus deras untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Walaupun banjir kali ini bukanlah banjir besar, namun ia tetap berbahaya dan berisiko yang mana tidak sesuai untuk kanak-kanak bermain air,” katanya ketika turun meninjau kawasan di sekitar kawasan Rantau Panjang di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara lokasi yang masih dinaiki air di sekitar Pekan Rantau Panjang ialah Kampung Bagus, Kampung Kedai Lama dan Kampung Kubang Rambutan.
Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 2,632 orang daripada 799 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 1,741 orang daripada 556 keluarga malam tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa kini berlindung di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah.
Di Pasir Mas, sebanyak 10 PPS dibuka melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang yang menempatkan 572 mangsa daripada 190 keluarga, SK Gual Tinggi (226 mangsa daripada 47 keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Rantau Panjang (573 mangsa daripada 197 keluarga), SMK (Agama) Lati (88 mangsa daripada 23 keluarga) dan Masjid Mukim Padang Licin (69 mangsa daripada 20 keluarga).
Lima lagi PPS ialah SK Gual Periok yang menempatkan 262 mangsa daripada 73 keluarga, SK Sri Kiambang (163 mangsa daripada 52 keluarga), SK Chicha Tinggi (79 mangsa daripada 20 keluarga), SK Lati (223 mangsa daripada 62 keluarga) dan SMK Gual Periok (115 mangsa daripada 31 keluarga).
Di Bachok, terdapat 221 mangsa daripada 70 keluarga berada di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat.
Sementara itu, masing-masing sebuah PPS dibuka di jajahan Kota Bharu iaitu SK Pangkal Kalong dengan 19 mangsa daripada lima keluarga dan Balai Raya Padang Kijang di Tanah Merah yang merekodkan 22 mangsa daripada sembilan keluarga. – HARAKAHDAILY 3/12/2023











