
BENTONG: Tamrin Qiadi PAS Kawasan Bentong berlangsung sempurna bertujuan membugar kembali semangat ahli dan kepimpinan pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Bertempat di Nature Campground, Kampung Syafie dalam Dun Pelangai, kem kepimpinan dua hari bermula 25 November lalu anjuran Lajnah Tarbiyah aan Perkaderan PAS kawasan merupakan episod kedua dilaksanakan selepas tamrin pertama berlangsung pada Ogos 2019 sebelum Covid-19 bermula.
Di samping membugar semangat pasca PRK, tujuan utama adalah mengikat jiwa ahli terutamanya kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk memahami realiti perjuangan mengikut manhaj tarbiah Islamiyah.
Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah di dalam ucapan taujihatnya berkata, tamrin itu adalah elemen penting untuk melatih sifat kepimpinan, justeru ia telah ditakwimkan untuk memberi ruang kepada keseluruhan ajk muslimin dan muslimat menghadirkan diri tanpa gagal.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tarbiyah aan Perkaderan PAS kawasan merangkap pengarah program, Ustaz Zamri Mat menegaskan bahawa tamrin itu ibarat medan asas yang perlu dilalui oleh ahli khususnya kepimpinan PAS yang duduk di dalam jamaah Islam sebagai persediaan menguatkan hati dan melengkapkan diri dengan ilmu kepimpinan.
Lebih 50 AJK PAS kawasan dan cawangan, dewan-dewan serta kepimpinan di peringkat lajnah hadir menyertai program memandangkan bahang PRK Pelangai Oktober lalu masih membugar rasa.
Antara pengisian menarik diisi adalah slot pembentangan pertama bersama Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak dengan tajuk ‘Akidah Dan Perjuangan’.
Menariknya, beliau memulakan sesi mukaddimah pada malam itu dengan satu persoalan yang begitu relevan sekali bagi manusia sebelum melakukan sesuatu perkara: di mana atau dari mana kita bermula.
“Mengapa tajuk akidah dan perjuangan ini penting? Kerana ia membincangkan persoalan yang sangat asas, daripada mana kita bermula, min aina nabdak.
“Jika kita tahu di mana kita bermula, maka kita akan tahu bahawa PAS ini berbeza daripada parti-parti lain,” ujarnya.
Ini disusuli dengan slot kedua, ‘PAS, Gerakan Islam dan Parti Politik’ dihurai baik oleh tokoh istiqamah PAS Bentong 2022, Ustaz Abdul Hamid Bahatim.
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohamad Hazmi Dibok mengisi slot ketiga dan terakhir bertajuk, ‘Tugas Dan Akhlak Ahli PAS’. – HARAKAHDAILY 28/11/2023












