Pilih soalan MP Bukit Gantang: Kerajaan bacul?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus dikecam ekoran dilihat masih melakukan kerja-kerja menagih sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) secara tidak bermoral.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bahkan menyifatkan kerajaan diterajui Presiden PKR itu sebagai bacul dan pengecut kerana tidak berdepan soalan-soalan pertanyaan pembangkang secara berani dan matang di Parlimen.

Beliau merujuk kepada soalan semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di mana pilihan soalan diambil daripada yang dikemukakan oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang).

Bagaimanapun, kesempatan tersebut digunakan Abu Hussin untuk memuji pendekatan Anwar dan Kerajaan Madani serta sinikal terhadap lawan Perdana Menteri, seterusnya mengisytiharkan sokongannya.

Dengan tindakan tersebut, beliau menjadi Ahli Parlimen PN yang kelima, juga daripada BERSATU berbuat tindakan serupa setelah didahului Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli sebelum ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, kebiasaannya dua soalan dipilih untuk sesi tersebut iaitu satu daripada wakil pihak kerajaan dan satu daripada wakil pihak pembangkang.

“Menariknya soalan daripada pembangkang dipilih daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang yang anda boleh tengok sendirilah bagaimana ayat soalannya itu langsung tidak merupakan cerminan daripada soalan ahli parlimen pembangkang. 

“Sudahlah kamu ada satu soalan untuk kerajaan, kamu pilih pula soalan daripada ahli parlimen pembangkang yang memang bertujuan untuk memberikan peluang kepada beliau mengisytiharkan sokongan kepada PMX. 

“Itu menunjukkan betapa bacul dan pengecutnya kerajaan. Padahal banyak lagi soalan daripada pembangkang yang lain yang boleh dipilih, tapi sengaja dipilih soalan ini dengan tujuan untuk mengisytiharkan sokongan dan ia tidak satu kebetulan sahaja. 

“Soalan pun soalan bola tanggung dan ia sengaja dipilih untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada PMX dalam ruang soalan. Kalau begitu tak payah buatlah soalan Prime Minister Question Time. 

“Kalau nak pilih soalan yang nak puji kita semata-mata, tak payahlah. Daripada jadi kerajaan yang bacul dan pengecut baik tak payah ada soalan. Sudahlah menjawab pun emosi, kalau kita tanya soalan tambahan pun, emosi. 

“Dan sangat-sangat tidak menjawab soalan. Apatah lagi ruang soalan pun tidak diberikan secara adil. Jadi kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan bacul!” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -