
KEMATIAN disebabkan karbon monoksida di dalam kenderaan yang tidak bergerak disebabkan enjin masih hidup berulang lagi. Terbaru, berlaku kepada seorang pelajar Politeknik Kota Bharu. Beliau ditemui di sebuah stesen minyak di bandar Kota Bharu oleh seorang pekerja stesen selepas mendapati kereta pelajar tersebut diparkir beberapa jam di stesen tersebut. Kes sebegini saban kali berlaku terutamanya ketika pemandu tidur atau berehat di dalam kenderaan ketika enjin masih hidup.
Tahap kesedaran dan ambil berat terhadap isu ini perlu dipertingkatkan lagi agar kita mampu mencegahnya daripada berulang. Antara punca utama kematian adalah disebabkan oleh kehadiran gas karbon monoksida (CO) yang keluar dari ekzos dan masuk semula ke dalam kenderaan.
Gas karbon monoksida (CO) adalah merupakan gas beracun yang mempunyai sifat-sifat yang tidak berwarna, tidak berbau, tidak mengiritasi kulit dan mata, namun ia sangat berbahaya. Karbon monoksida (CO) di udara disedut dan diserap dengan mudah ke dalam paru-paru. Jika dibandingkan dengan oksigen, karbon monoksida (CO) lebih mudah terikat dengan hemoglobin di dalam sel darah merah yang menyebabkan jaringan sistem tubuh badan kekurangan oksigen.
Kajian berkaitan kematian tidak sengaja oleh karbon monoksida (CO) di dalam kenderaan telah lama dan banyak dijalankan. Antaranya Susan P. Baker dan rakannya pada tahun 1972. Susan P. Baker telah menjalankan kajian dan siasatan terhadap 68 orang kes kematian di dalam kenderaan. Dapatan menunjukkan 65 daripada 68 orang ini kandungan karbon monoksida (CO) di dalam darah mengandungi 30 peratus hingga 79 peratus COHb. Tahap selamat kandungan COHb jika dirujuk kepada J. Am Board Pract 1998 sepatutnya mesti berada di bawah 10 peratus COhb.
Oleh itu, pengguna perlu sentiasa memastikan kondisi kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan diselenggara. Jangan berada di dalam kenderaan bagi tempoh jangka masa yang lama, ketika kenderaan tidak bergerak tetapi enjin masih dihidupkan. Jika terdesak, matikan enjin kenderaan dan pastikan pengudaraan dalam keadaan yang baik sebelum berehat atau tidur. Jika tidak, kita terdedah kepada risiko gas karbon monoksida (CO) dan boleh menyebabkan kematian oleh gas ini yang juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ (silent killer).
Oleh:
TS. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 28/11/2023
Lampiran: https://www.sinarharian.com.my/article/636777/berita/semasa/pelajar-maut-terhidu-gas-karbon-monoksida
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











