
MELAKA: Jenazah mantan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Melaka, Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mohd Ali Isnin, 60, yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi telah disolatkan di tiga lokasi sebelum dikebumikan.
Jenazah telah disolatkan di Madrasah Pondok Tahfiz Darul Hadis, Masjid Assolihin dan Masjid Kandang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jinjing, Kandang, di sini, hari ini.
Menurut salah seorang anaknya, Ustaz Solihin, ayahnya itu memang menghidap lemah jantung dan injap jantung bocor.
“Dalam keadaan begitu, air terlalu banyak dalam badan, tak sempat nak buang. Makan ubat pun tak lawas. Air itu dah termasuk dalam paru-paru dan jantung. Itu yang membuatkan lemah.
“Bila jadi lemah, bila bawa ke hospital dalam keadaan kritikal jadi doktor tak dapat nak selamatkan. Oksigen waktu itu dah 60 peratus,” katanya kepada Harakahdaily seusai majlis pengebumian.
Jelas beliau, Allahyarham dimasukkan ke Wad CCU sekitar jam 1 pagi dan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.00 pagi di Hospital Putra, Bandar Melaka.
Mengimbau saat-saat sebelum pemergian Allahyarham, Solihin berkata, ayahnya seolah-olah tahu saatnya sudah hampir dan sempat memanggil anak-anaknya berkumpul untuk bertemu buat kali terakhir.
“Ayah panggil anak-anak berkumpul terutama yang tak menetap di Melaka, macam kakak saya tak tinggal di Melaka. Dia panggil suruh balik. Dia cakap dengan adik saya ‘jangan tinggalkan dia’,” ujar beliau.
Selain itu, kata Solihin, Allahyarham semasa mengunjungi abangnya baru-baru ini turut mengucapkan beberapa ayat yang membayangkan bahawa beliau akan pergi buat selamanya tidak lama lagi.
“Dia kata ‘kita semua ni dah bau kapur barus, nak dekat dah’. Dia cakap dengan abang dia ‘lepas ni aku dah tak datang lagi dah dekat rumah kau’,” ujarnya.
Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mohd Ali yang dilahirkan pada 2 Oktober 1963 itu mendapat pendidikan awal daripada Tuan Guru Haji Abdul Wahid Othman, Sungai Udang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukaramah selama 22 tahun.
Allahyarham yang juga pengasas Yayasan Sulammi Ulummiah dan menjadi pendakwah bebas semenjak menamatkan pengajian itu meninggalkan seorang balu dan sembilan anak.
Turut hadir di majlis pengebumian Allahyarham ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Ustaz Datuk Kamarudin Sidek. – HARAKAHDAILY 28/11/2023












