Hentikan buli siber terhadap Aisyah

- Advertisement -

PAS Negeri Melaka mengikuti perkembangan sebuah video tular pendedahan seorang pelajar Malaysia, Aisyah Shofi yang sedang menuntut di sebuah universiti di United Kingdom.

Dalam video itu beliau menzahirkan kekesalan atas tindakan Malaysian Society (MSOC) United Kingdom yang telah menganjurkan ‘after party’ selepas tamat penganjuran Malaysian Games (MGames) baru-baru ini.

Menurut Aisyah, penganjuran parti tersebut yang mengandungi aktiviti tari-menari dan hidangan arak jelas tidak menghormati sebahagian besar ahli MSOC yang terdiri dari pelajar beragama Islam yang turut menerima jemputan ke program itu.

Namun, video pendedahan beliau tersebut telah mendapat respons negatif dari banyak pihak yang tidak senang dengan pandangan yang telah beliau berikan.

Beliau juga turut mengalami ‘buli siber’ dengan pelbagai pihak mengeluarkan kandungan-kandungan yang mengecam, mencerca dan mengejek dirinya.

Tidak cukup dengan itu ada pihak-pihak yang turut cuba menggunakan saluran kerajaan bagi mendesak pihak penaja Aisyah iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Penuntut Malaysia agar mengambil tindakan terhadap beliau.

PAS Melaka menzahirkan rasa kesal atas segala tekanan yang dilakukan terhadap pelajar ini atas tindakannya yang cuba menentang aktiviti mungkar yang berlaku dalam MSOC.

Penganjuran aktiviti tersebut bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah bertentangan dengan norma dan budaya Timur yang dipegang oleh rakyat negara ini.

Pihak PAS Melaka berharap agar pihak Jabatan Penuntut Malaysia dan JPA tidak melayan sebarang desakan untuk pelajar ini diambil tindakan kerana ia sesuatu yang sangat tidak wajar serta bertentangan dengan moral.

PAS Melaka juga mendesak agar pihak-pihak yang membuli Aisyah secara siber agar menghentikan tindakan biadab ini dengan segera! 

Kami juga berharap agar sikap menegur apa sahaja kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat dapat dijadikan amalan oleh seluruh umat Islam agar tuntutan ‘amar ma’ruf, nahi mungkar‘ akan hidup subur dalam diri setiap umat Islam.

- Advertisement -

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

 “Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Ali Imran: 104)

USTAZ WAN ZAHIDI WAN ISMAIL
Ketua Penerangan 
PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -