
KUALA LUMPUR: Peruntukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pertahanan yang berkurangan dilihat tidak signifikan kepada keperluan yang sepatutnya perlu dipertingkatkan.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, bajet peruntukan telah berkurangan daripada RM37,609,000 kepada RM36,770,000.
“Kita melihat potensi besar dalam pertahanan negara. Kita sangat risau bila dalam satu kenyataan disebut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Brig. Jen. (B) Prof. Ir. Dr. Norazman Mohamad Nor bahawa sistem pertahanan kita masih rendah.
“Ini kerana tidak ada perancangan secara berkesan untuk masa depan dan bagaimana kita berdikari dalam membangunkan pertahanan negara sepertimana negara di serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tarmizi juga melihat R&D pertahanan penting khususnya mutakhir ini bagaimana perang diantara Israel dan Palestin mempunyai perkara baharu dalam sistem pertahanan negara.
“Kita mungkin tidak pernah melihat bagaimana perang secara Combat ataupun perang Gerila itu sangat-sangat berkesan.
“Kita melihat penggunaan paragliding itu juga satu benda yang perlu dikaji secara serius oleh pertahanan kita melalui R&D dan bagaimana kedudukan pertahanan termasuklah di sempadan negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023




















