
KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) meminta kerajaan menyatakan cadangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas bagi melaksanakan kajian terhadap kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat ingin tahu adakah penubuhan jawatankuasa itu akan menyebabkan berlaku pertindihan fungsi antara Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan yang ditubuhkan di bawah MKI.
“Apakah kerajaan menyediakan satu pelan masa bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Khas sehingga kepada syor dan tindakan yang akan diambil kerajaan bagi mengembalikan semula legitimasi DUN untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah terutama selepas kes Iki Putra,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jawatankuasa Khas merupakan usaha untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri serta antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.
“Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan (semalam) setelah mendengar hujah-hujah daripada peguam, pihak pempetisyen dan pihak-pihak lain. Mahkamah persekutuan telah menentukan satu tarikh yang kemudian untuk keputusan yang dibuat.
“Jawatankuasa Khas yang dibentuk ini juga akan meneliti alasan-alasan penghakiman yang dikemukakan bukan sahaja dalam kes Iki Putra yang disebut oleh Yang Berhormat Pokok Sena.. sebentar tadi termasuk juga dalam kes yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, tiada isu pertindihan fungsi antara Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Khas yang dicadangkan ini.
“Jawatankuasa Perundangan Islam ini bertujuan untuk menambah baik, menyelaras dan menggalakkan penyeragaman undang-undang syariah antara negeri-negeri dan pengharmonian undang-undang syariah dengan undang-undang sivil bagi memastikan kedua-dua sistem perundangan ini dapat dimartabatkan dan saling lengkap melengkapi,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2023











